Syor MTUC bagi syarikat perlu terus produktiviti

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menggariskan syor dan panduan kepada syarikat atau majikan yang memerlukan produktiviti mereka terus dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Presiden MTUC, Dato’ Abdul Halim Mansor berkata, majikan-majikan ini harus disyarat menyediakan pengangkutan sendiri dan diambil dari rumah agar pekerja mereka tidak bercampur dengan orang ramai dalam pengangkutan awam.

“Apabila sampai di syarikat, syarikat harus sediakan saringan kesihatan sebelum memasuki premis syarikat. Dan jika pekerja itu tidak layak, pekerja itu harus terus dihantar ke hospital untuk dibuat laporan kesihatan.

“Pekerja yang mana dibenarkan masuk juga mempunyai masa terhad kawalan di tempat kerja yang mana salah satunya ialah waktu rehat kerja mestilah dalam berkumpulan dan masa dijadualkan.

“Agar kita dapat merekodkan kehadiran mereka di tempat rehat dan pada pukul berapa ke pukul berapa dan sesiapa yang terlibat pada waktu itu. Secara tidak begitu, kita dapat menyaring dalam kumpulan yang lebih kecil apabila mereka berehat secara jadual.

“Apabila pekerja-pekerja ini telah tamat perkhidmatannya, mereka bolehlah pulang ke rumah dan terus ke rumah dan tidak boleh bercampur dengan masyarakat, dan mereka haruslah menghadkan perjalanan,” ujarnya.

Advertisement

Menurutnya, secara tidak langsung kawalan pergerakan pekerja dan produktiviti dapat terus diadakan tanpa syarikat menanggung kerugian dan pekerja tidak menanggung permasalahan ekonomi serta perbelanjaan harian mereka.

Kerana apabila pekerja tidak bergaji katanya, ia adalah satu perkara yang amat gusar dan merbahaya dalam konteks perlindungan hak pekerja di mana cuti diambil itu mesti dirundingkan dan tidak seharusnya bebanan ini dijatuhkan kepada pekerja.

“Tetapi mestilah bersama-sama dengan syarikat, dan kerajaan untuk melihat dalam konteks 50 peratus pekerja dan 50 peratus syarikat. Dan saya dalam konteks ini agar cuti itu dapat dibahagikan sama rata, sama-sama mengambil kerugian ini dan sama-sama menanggung kosnya.

“Dan akhirnya saya ingin melihat dalam konteks apa yang telah dilakukan oleh negara-negara lain iaitu kerajaan menanggung masa darurat. Iaitu syarikat telah diarahkan berhenti untuk menentukan agar kerajaan dapat mengendalikan pembersihan untuk menentukan virus ini dapat ditamatkan.

“Maka secara tidak langsung saya berharap bahawa kerajaan mengambil tindakan dengan mengeluarkan bon kerajaan dan membayar pekerja dan syarikat yang menghentikan secara total dalam satu waktu yang ditentukan,” cadang beliau. – HARAKAHDAILY 18/3/2020