“Tolong duduk di rumah sahaja,” rayu PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu seluruh rakyat Malaysia agar hanya duduk sahaja di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Advertisement

Kata beliau, langkah Perintah Kawalan Pergerakan dibuat kerajaan bagi memutuskan rangkaian penularan Covid-19 yang kini semakin meningkat.

“Saya sekali lagi berdiri di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan status terkini wabak COVID 19 di negara kita. 

“Hari ini terdapat 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID 19 sebanyak 790,” katanya dalam satu perutusan khas yang disiarkan RTM sebentar tadi.

Katanya lagi ini bukanlah perkembangan yang menggembirakan, justeru tambahnya langkah-langkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.

Kerana itulah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada hari ini, tegasnya.

Beliau aya menjelaskan tujuan kerajaan melaksanakan perintah ini dimana mengapa sekolah, universiti dan sebahagian pejabat, premis perniagaan dan kilang ditutup.

Tujuannya kata beliau ialah supaya semua pihak tidak perlu bergerak ke sana sini. 

“Saudara-saudari tidak perlu bersesak-sesak dalam LRT, MRT atau bas untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari. 

“Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus Covid-19,” tegasnya.

Selama tempoh dua minggu ini, PM merayu agar semua pihak berada bersama-sama anak-anak hanya perlu berada di rumah.

Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana,” katanya.

Justeru dengan cara ini rakyat terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularan wabak ini  dapat dibendung. 

Tujuannya pelaksanaan perintah ini kata Muhyiddin bukan untuk membolehkan semua pihak balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Tujuannya ialah supaya semua pihak duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak ini. – HARAKAHDAILY 18/3/2020