Tolong hayati rayuan PM!

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya sebentar tadi merayu kepada rakyat Malaysia supaya terus kekal dimana keberadaan masing-masing dengan mengambil kira langkah-langkah pencegahan yang disarankan pihak berkuasa.

Advertisement

Rayunya, hal ini supaya rakyat tidak membuat keputusan drastik untuk pulang ke kampung dimana dapat dilihat banyak perlanggaran jarak sosial berlaku apabila rakyat berpusu-pusu berkumpul di satu-satu lokasi dalam tempoh dua minggu ini.

Menurut beliau, antara sebab kerajaan menetapkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu itu adalah untuk memecahkan ‘chain of infection‘ supaya jangkitan wabak Covid-19 dapat dikurangkan.

“Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu? Ini kerana Covid-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu. Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu.

“Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari Covid-19.

“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus Covid-19 dengan berada di rumah,” ujar beliau.

Beliau berkali-kali menekankan supaya rakyatnya tidak meninggalkan kediaman untuk tujuan bersantai-santai seperti keluar melepak bersama kawaan-kawan di mamak, di kopitiam, di pusat hiburan atau mana-mana tempat yang berpotensi jangkitan Covid-19.

Selain itu, beliau juga menasihati rakyat agar tidak meneruskan serta menangguhkan kenduri kahwin dan hanya melakukan yang wajib seperti akad nikah. – HARAKAHDAILY 18/3/2020