Covid-19: ‘Burnout Syndrome’ – Antara tugas dan keluarga

BURNOUT Syndrome‘ akan dialami oleh petugas yang kepenatan secara fizikal dan mental disebabkan kerja yang berpanjangan. Sindrom ini dicirikan kepada tiga komponen sebagaimana berikut :

Advertisement

a. Keletihan emosi (emotional exhaustion) – petugas mengalami kelesuan emosi yang amat tinggi.

b. Depersonalisasi (depersonalisation) – petugas bersikap sinis, terasa jauh dan tidak berperasaan terhadap kerja.

c. Pencapaian peribadi (personal accomplishment) – petugas sudah tidak berupaya untuk bekerja secara profesional.

Kenali tanda-tanda burnout di kalangan ahli keluarga, terutama pasangan anda :

a. Emosi: sedih, kecewa, sensitif, mudah marah

b. Fizikal: sakit kepala, sakit badan, letih, sukar tidur

c. Pemikiran: sukar mengingati arahan, membuat keputusan dan memberi tumpuan, berfikiran negatif dan pesimis

d. Kelakuan: prestasi kerja terjejas, mengelakkan diri dari tanggungjawab, mengasingkan diri, mengabaikan diri.

Bagaimana ahli keluarga / pasangan/ rakan dapat membantu petugas yang burnout

  • Mendengar secara aktif setiap luahan yang dilontarkan oleh petugas tanpa membuat sebarang andaian. Tumpu perhatian sepenuhnya sewaktu proses ini dan elakkan mencelah atau membuat aktiviti lain.
  • Validasi emosi petugas, iaitu mengatakan bahawa apa yang beliau alami adalah normal dalam keadaan sekarang. Contoh, “Anda telah bekerja dengan sebaiknya tanpa rehat yang secukupnya. Saya tahu anda mempunyai beban yang amat besar. Saya tahu anda penat, tertekan, marah, kecewa ……. Tak mengapa, semua itu adalah normal”
  • Pastikan petugas mendapat makanan seimbang. Sebolehnya sediakan bekalan makanan yang mencukupi semasa beliau bertugas
  • Berikan ruang untuk petugas rehat dan tidur secukupnya
  • Sediakan pakaian dan peralatan yang petugas perlu bawa ke tempat kerja bagi mengurangkan beban beliau
  • Bersama-sama dengan petugas dalam melakukan aktiviti-aktviti relaksasi atau senaman, membaca Quran, solat berjemaah, makan bersama dan lain-lain
  • Menghantar petugas bekerja dengan kata-kata semangat dan sayang (bagi pasangan) bagi menunjukkan yang beliau adalah seseorang yang amat penting dalam hidup anda

Semoga kita semua dijauhkan dari wabak COVID-19.

DR SHARIFAH ZUBAIDIAH SYED JAAFAR
Pensyarah Perubatan, USM – HARAKAHDAILY 19/3/2020