Doa rakyat Palestin buat Malaysia

KUALA LUMPUR: Rakyat Palestin menghulurkan ‘bantuan’ kepada Malaysia dengan mendoakan buat rakyat Malaysia supaya dijauhkan daripada Covid-19.

Advertisement

Dalam satu rakaman video yang sedang tular di media sosial hari ini, bacaan doa berkenaan dipimpin oleh seorang wanita Palestin dan diaminkan oleh beberapa rakannya.

Ini menggambarkan berita keresahan rakyat Malaysia berdepan Covid-19 turut dirasai oleh rakyat Palestin.

Lebih-lebih lagi, Kerajaan Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa semalam (18 Mac) sehingga 31 Mac depan.

Ia susulan selepas Malaysia mencatatkan peningkatan kes wabak Covid-19 pada setiap hari dan merekodkan dua kematian buat pertama kali pada Isnin, 16 Mac.

Perintah kawalan pergerakan dilaksanakan bagi mengekang dan mengawal penularan wabak Covid-19 supaya tidak menjadi semakin parah.

Sementara itu, Palestin merupakan negara yang masih bebas daripada wabak Covid-19 walaupun sebelum ini Menteri Kesihatan Palestin melaporkan 145 kes yang disyaki sejak 20 Januari lepas adalah negatif wabak berkenaan.- HARAKAHDAILY 19/3/2020