Hadis: Wabak adalah rahmat buat mukmin

KETIKA penyakit berjangkit merebak dalam kalangan umat, lazimnya kita akan merasa resah dan panik. Tahap keresahan yang dirasai golongan yang tidak dijangkiti pasti berbeza dengan mereka yang telah disahkan positif. Pesakit-pesakit ini sudah tentu tidak dapat mengelakkan diri daripada membayangkan pelbagai perkara.

Lintasan fikiran negatif, bayangan kematian dan pengharapan untuk kembali sihat memenuhi ruang fikir. Tidak kurang pula cara reaksi pesakit yang berbeza-beza setelah mengetahui tahap kesakitan masing-masing. Bagi mereka yang ekstrem dan tidak mampu menerima kenyataan, tidak mustahil muncul idea buruk:

Advertisement

“Kalau aku sakit dan tak boleh sembuh, aku akan jangkiti seramai mungkin orang lain. Daripada mati bersendirian, lebih baik mati beramai-ramai.”

Berbeza dengan orang mukmin yang sejati, mereka mengambil panduan daripada hadis Nabi S.A.W. Rasulullah menjanjikan wabak adalah rahmat buat mukmin dengan erti kata hendaklah mereka bersabar di rumah masing-masing, jalani tempoh kuarantin dan isolasi dengan tenang. Fikirkan kebaikan yang lebih besar, jangan sama sekali merisikokan orang sekeliling dengan jangkitan yang berpunca daripada kecuaian diri. Itulah makna wabak adalah rahmat buat mukmin.

Suatu hari Saidatina Aisyah R.A berkata:

سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الطاعون فأخبرني أنه عذاب يبعثه الله على من يشاء وأن الله جعله رحمة للمؤمنين ليس من أحد يقع الطاعون فيمكث في بلده صابرا محتسبا يعلم أنه لا يصيبه إلا ما كتب الله له إلا كان له مثل أجر الشهيد.

“Aku bertanya Rasulullah S.A.W mengenai wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Allah akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran Allah dan yakin jangkitan yang berlaku adalah ketentuan Allah, melainkan Allah akan memberinya pahala syahid.”

(HR Bukhari)

Ajaib urusan orang beriman, setiap situasi mendekatkan kita pada Allah. Kesenangan menjadikan kita bersyukur. Kepayahan membuatkan kita bersabar. Setiap saat semakin dekat pada Allah. Itulah rahmat.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 19/3/2020