Ikhtiar mencegah mudharat sebahagian tuntutan syarak

SUKA saya mengulangi peringatan yang telah saya sebutkan beberapa hari lepas mengenai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 yang sedang dikuatkuasakan oleh Kerajaan, iaitu Kawalan Pergerakan.

Ramai juga pertikaikan mengenai larangan mengadakan aktiviti perhimpunan di masjid dan surau. Sama ada solat berjamaah, majlis ilmu dan lebih-lebih lagi solat Jumaat. Sehingga ada yang menyarankan agar aktiviti di masjid itu dikecualikan dari sekatan dan kawalan tersebut.

Kita semua sedia maklum bahawa penularan wabak ini adalah melalui sentuhan. Ia akan lebih cepat merebak dengan adanya himpunan orang ramai di satu-satu tempat. Semakin besar himpunan itu maka kemungkinan penularannya juga semakin besar.

Advertisement

Sebagai langkah ikhtiari ke arah pembasmian atau pencegahan sebuah kemudharatan, Islam membenarkan kita mengambil keringanan atau rukhsah apabila berada dalam situasi mudharat. Ulamak fiqh telah menyusun kaedah fiqh agar kita mampu keluar dari satu hukum kepada hukum yang lain yang lebih mendatangkan maslahah dan menghindari mudharat. antaranya ialah;

المشقة تحلب الى التيسير

“Kesulitan itu membawa kepada kemudahan.”

Mana-mana hukum yang dalam penerapannya menimbulkan kesulitan maka syariat meringankannya. Mereka mengkategorikan musaqqah atau kesulitan itu kepada 3, iaitu;

(1) Al-Musaqqatul ‘Azimah, iaitu kesulitan yang sangat berat. Seperti kekhuatiran hilangnya nyawa atau kematian, atau cacatnya anggota yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.

(2) Al-Musaqqatul Mutawassitah, iaitu kesulitan dan kemudharatan yang pertengahan. Kesulitan seperti ini harus dipertimbangankan sebelum menentukan sama ada boleh membawa kepada keringanan atau tidak.

(3) Al-Musaqqatul Khafifah, iaitu kesulitan yang ringan yang mana sepakat ulamak tidak mengharuskan rukhsas ke atas kesulitan dalam kategori ini, seperti kesulitan lapar kerana puasa, dan lain-lain.

Manakala keringanan itu pula dikategorikan kepada beberapa kumpulan keringanan. Tidak boleh dilaksanakan sewenangnya;

(1) Takhfif Isqath, iaitu suatu yang wajib digugurkan perintahnya, seperti gugurnya perintah solat bagi wanita yang haid dan lain-lain.
(2) Takhfif Tanqis, keringanan berupa pengurangan, seperti qasar bagi solat empat rakaat kepada musafirin dan lain-lain.
(3) Takhfif Taqdim, iaitu keringanan dengan mendahulukan, seperti jamak takdim di Arafah atau mengeluarkan zakat sebelum haul, dan lain-lain.
(4) Takhfif Ibdal, iaitu keringanan dengan gantian, seperti wuduk diganti dengan tayammum bagi orang yang dizankan oleh doktor bahawa akan mendatangkan mudharat jika menggunakan air.
(5) Takhfif Ta’khir, keringanan dengan cara ditakhirkan perintah itu. Jamak takhir di Mudzalifah, atau menunaikan qadha’ puasa selepas Ramadhan.
(6) Takhfif Tarkhis, keringanan kerana rukhsah, seperti mengharuskan memakan yang haram dalam keadaan terpaksa.
(7) Takhfif Taghyir, Iaitu keringanan dengan cara menukar pelaksanaannya. seperti solat Siddatul Khauf dalam peperangan.

Berdasar perkara-perkara yang disebut para Fuqahah itu maka saya secara peribadinya bersetuju solat Jumaat dalam suasana dharurah ini diberikan keringanan. Iitu Takhfif Ibdal, iaitu digantikan dengan solat Zohor. Kerana mudharat atau musaqqah yang sedang kita depani ini adalah musaqqah ‘azimah, yang membolehkan kita mengambil hukum keringanannya. Bukankah COVID-19 ini telah dikategorikan sebagai pandemik oleh WHO dan pakar-pakar perubatan.

Cumanya yang saya sebutkan semalam, oleh kerana risiko jangkitan itu akan berlaku jika adanya himpunan dalam skala yang besar maka kita masih boleh melaksanakannya dalam skala yang kecil. kerana kaedah fiqh juga menyebut;

مالا يدرك كله لا يترك كله

“Apa yang tidak mampu dilaksanakan seluruhnya maka jangan ditinggalkan seluruhnya.”

Mungkin waktu inilah kita dapat melihat rahmatnya perselisihan ulamak mutaqoddimin itu. Iaitu ada perbezaan pendapat ulamak apakah solat Jumaat itu Sah dilakukan bila bilangan jamaahnya kurang dari 40 orang seperti hanya 5 orang sahaja. Mereka juga berselisih pendapat apakah Jumaat itu sah dilakukan berbilang-bilang jamaah dalam satu qaryah?

Ada pun ada yang beralasan bahawa takut kepada penyebaran virus itu membawa kepada syirik kepada Allah, maka dakwaan itu tidak benar. Bahkan semakin menimbulkan panik di kalangan masyarakat Islam. Mahu ke masjid mereka bimbang dijangkiti wabak kerana himpunannya besar. Kalau tak hadir bimbang pula menjadi syirik.

Perlu disedari bahawa Nabi Musa juga pernah berkata kepada Allah bahawa baginda takut Firaun akan mendustakan baginda. Apakah Musa telah syirik. bukankah berikhtiar dengan tidak menggoncangkan keyakinan bahawa seluruh takdir itu dari Allah adalah sebahagian dari pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Wallahu ‘allam.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/3/2020