Patuh perintah demi keselamatan nyawa – Menteri

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan 11 kementerian bagi perintah kawalan pergerakan dalam menyelaraskan tindakan dan peranan menangani penularan wabak COVID-19.

Advertisement

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Polis Negara (KPN), Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Peguam Negara (AG) dan Ketua Setiausaha (KSU) dari kementerian-kementerian.

Katanya, antara lain perbincangan mesyuarat Kabinet semalam mengikuti rapat laporan pihak polis berhubung perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa sejak semalam.

Polis melaporkan hanya 60 peratus sahaja mematuhi arahan berkenaan, susulan itu polis katanya terpaksa mengadakan sekatan jalan raya.

“Daripada laporan yang diberikan semalam hanya 60 peratus sahaja mematuhi.

“Sebab itulah pihak polis telah menggerakkan anggota mereka untuk mengawal keadaan dengan mengadakan sekatan di jalan raya.

“Setakat semalam sebanyak 504 sekatan jalan raya telah dilaksanakan di seluruh negara dan 6,135 kenderaan diperiksa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas COVID-19 Kementerian Pertahan Malaysia media yang disiarkan secara langsung tengah hari tadi.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan perintah kawalan pergerakaan bagi keselamatan nyawa rakyat.

Menurutnya, setakat ini pihak polis hanya menasihati namun jika ada yang masih berdegil polis mungkin terpaksa mengenakan tindakan yang lebih tegas.

Beliau juga menjelaskan mesyuarat dengan kementerian yang terlibat dengan langkah menangani Covid-19 akan berterusan sehingga 31 Mac iaitu hari terakhir perintah kawalan pergerakan.

Malah katanya, pada setiap hari hasil keputusan mesyuarat berkenaan akan disampaikan dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung setiap jam 12 tengah hari.- HARAKAHDAILY 19/3/2020