Pemuda Perak seru ringankan beban petugas kesihatan

IPOH: Pemuda PAS Negeri Perak menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani COVID-19.

Advertisement

Sehubungan itu, segala pengorbanan dan jasa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti doktor, jururawat, ahli farmasi, pemandu hatta pengawal keselamatan di hospital serta tenaga kerja di sektor-sektor kritikal negara adalah perlu dihargai.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait menyeru keluarga terdekat, jiran tetangga dan seluruh rakyat negeri Perak bersama-sama menyumbang tenaga membantu menguruskan hal ehwal anak-anak pejuang barisan hadapan negara ini.

“Atau apa jua sumbangan demi meringankan beban mereka. Inilah masanya untuk kita semua membuktikan bahawa kita bersatu hati dan sanggup berganding bahu bagi memastikan kita semua dapat merasai dan mengharungi tempoh yang sukar ini dengan sebaiknya,” tegas beliau.

Beliau juga berharap agar isu berkaitan kesihatan rakyat ini tidak dipolitikkan kerana isu ini adalah isu global yang merentasi semua negara.

“Sudah-sudahlah berpolitik, jangan semua perkara hendak dipolitikkan, ini soal kesihatan dan keselamatan rakyat dan negara. Sepatutnya kita bersama-sama membantu rakyat yang sedang resah dengan isu ini.

“Semoga pengorbanan pejuang barisan hadapan negeri dan negara ini akan mendapat sokongan, bantuan dan sanjungan dari kita rakyat negeri Perak,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan atas Bantuan Khas Kerajaan Negeri Perak kepada 1,500 orang petugas Jabatan Kesihatan Negeri seluruh Perak dalam bentuk sumbangan makan tengahari dan makan malam selama tempoh dua minggu.

“Teruskan berdoa kepada Allah S.W.T, Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu agar diangkat musibah ini sesegera yang mungkin dan mengembalikan kesejahteraan dan perpaduan sesama kita,” ujar beliau lagi.