Tenang dan toleransi

SAYA rasa ia dua sifat yang menyimpulkan apa yang perlu dibuat rakyat Malaysia dalam suasana wabak hari ini.

Tenang, dengan berbekalkan keyakinan bahawa sakit tidak akan menimpa sekiranya langkah yang betul diambil untuk menghindarkan penyakit, dan tenang dengan keyakinan bahawa sekiranya ditakdirkan kita dijangkiti, ia ketentuan yang membawa hikmah dan perlu dihadapi dengan sabar dan redha.

Toleransi, dengan memberikan kerjasama terhadap semua arahan pihak berkuasa, cakna terhadap jiran dan keperluan mereka, serta tidak menjadi punca kepada bertambahnya huru-hara.

Advertisement

Saya berkongsi dua kata kunci ini dengan pengalaman lebih dahsyat yang dilalui – ketika Gaza berada di dalam tempoh perang ketiga Asfil Ma’kul pada Ramadhan 2014.

Ketika itu bukan sahaja penduduk terancam dengan virus, tetapi berdepan serangan roket yang jatuh entah dari mana, serangan kereta kebal dan tentera penjajah yang masuk melalui jalan darat, malah bom yang dilepaskan dari dron tanpa pemandu.

Ketika itu memang berlaku panik, tetapi pada masa sama kerjasama yang begitu tinggi dilihat di antara penduduk. Ketika diarahkan berhijrah selepas bermula serangan darat, penduduk membantu sesama mereka mengangkut barangan, mendukung anak kecil dan berkongsi makanan di pusat-pusat perlindungan sementara.

Ketika mujahidin berkampung di pos-pos berdekatan sempadan untuk menahan kemaraan musuh, mereka mendapati peti yang dipenuhkan dengan makanan dan notis yang dilekatkan di atas pintu ‘untuk kegunaan mujahidin’.

Ketika rumah-rumah diletupkan, seluruh tetangga turun menyelamatkan barangan yang masih baik selepasnya dan memberikan teduh kepada mereka yang sudah tidak punya tempat berlindung.

Sampaikan terlebih toleransi, saya teringat suatu peristiwa sebuah letupan berlaku berdekatan dengan Masjid Umari tempat kami membuka pusat perlindungan. Para pemuda dari dalam masjid berlari keluar untuk menyelamatkan mangsa letupan yang syahid dan cedera; malangnya penjajah melepaskan sebuah lagi letupan di tempat sama menyebabkan mereka yang keluar membantu turut sama terkorban.

Begitu juga contoh yang banyak dalam tenang, apabila para ibu menerima berita syahidnya anak mereka, atau para isteri mendapat khabar pemergian suami buat selamanya, mereka pasrah dan redha.

Saya pun tidak terbayang bagaimana mereka mampu sampai ke tahap sedemikian. Kalaulah yang syahid itu anak saya atau kalian, barangkali boleh gila dibuatnya.

Sebab itu dalam suasana wabak COVID-19 ini, kita semua perlu bersatu dan bekerjasama. Ia bukan waktu untuk berpolitik, menyalahkan fulan dan fulan.

Ia juga bukan waktu untuk mementingkan diri sendiri, membeli semua barang yang ada di pasar, bergegas mencuri peluang balik ke kampung dan bercuti ke luar negara, atau melanggar amanah bermain internet ketika waktu diarahkan bekerja dari rumah.

Ia waktu untuk mengetuk pintu jiran, bertanya kalau ada kurang beras atau telur. Ia waktu untuk menghargai jasa kakitangan sektor kesihatan dengan mendengar nasihat dan panduan supaya tidak menambahkan beban buat mereka.

Dan ia waktu untuk mendekatkan diri dengan Allah, kerana hari ini kita ber’darurat’ berdepan tentera yang tidak dapat dilihat di depan mata, esok lusa kalau bencana lebih besar menimpa, sekurangnya kita sudah bersedia dan mampu menjadi rakyat dan hamba yang sanggup bertoleransi, dan mampu bertenang berdepan dengannya.

NADIR AL-NURI – HARAKAHDAILY 19/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.