Tragedi letupan di Pengerang tak cemar alam sekitar

KUALA LUMPUR: Kejadian kebakaran dan letupan di PETRONAS Pengerang Integrated Complex (PETRONAS PIC), Pengerang, Johor yang berlaku pada malam 15 Mac didapati tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar di kawasan yang terlibat.

Advertisement

Kenyataan rasmi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, kebakaran tersebut melibatkan fasiliti Diesel Hydrotreating Unit, di Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di mana JAS Negeri Johor telah melakukan siasatan.

Pihak mereka mendapati tiada kesan pencemaran, tiada asap kelihatan dari arah premis dan bau juga tidak dikesan dari kawasan premis yang terbakar serta tidak memberi kesan kepada penduduk dan orang awam berhampiran.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak PETRONAS dan pihak berkuasa. Pasukan Emergency Response Team (ERT) PETRONAS RAPID Pengerang telah diaktifkan serta-merta ke lokasi kejadian dan kebakaran telah padam sepenuhnya.

“Pemantauan lanjut kualiti udara oleh JAS telah dijalankan di sekitar kawasan premis iaitu di Gate 2 PIC, Gate 3 PIC, Kampung Lepau dan Kuarters Guru Pengerang. Kawasan penerima sensitif yang terhampir ialah Kampung Lepau. Anggaran jarak Kampung Lepau ke lokasi kejadian ialah 2.17 kilometer.

“Pemantauan kualiti udara ke atas pencemar udara dan gas organik meruap (volatile organic gases) mendapati bacaan adalah di bawah tahap yang boleh diterima dan selamat,” maklum pihak JAS.

Pihak PETRONAS juga menurut kenyataan itu, telah menjalankan pemantauan kualiti udara di kawasan sempadan di sekitar premis PETRONAS dan mendapati tiada gas merbahaya atau gas hidrokarbon dikesan.

Namun, pihak PETRONAS masih menjalankan pemantauan kualiti udara di kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 19/3/2020