Web KKM sedia info semasa Covid-19

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berharap orang ramai dapat melayari web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengetahui perkembangan terkini berkaitan wabak Covid-19.

Menurutnya, melalui laman web http.//covid-19.livephotos.my/ orang ramai boleh mengetahui perkembangan terkini berhubung jumlah keseluruhan kes wabak tersebut.

Advertisement

Beliau berkata, sehingga jam 5 petang semalam jumlah kes keseluruhan seramai 790 orang.

“Menurut website KKM, 728 kes aktif yang sedang dirawat dan yang telah sembuh 60 orang. Oleh itu saya berharap semua pihak mematuhi arahan kawalan pergerakan yang dikeluarkan kerajaan yang mana masuk hari kedua hari ini.

“Selain itu kita berdoa dan bermunajat sentiasa kepada Allah SWT semoga keadaan ini beransur pulih,” ujarnya ketika dihubungi di sini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya malam tadi turut merayu kepada orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan berada di rumah dalam tempoh dua minggu ini, bagi memastikan wabak Covid-19 ini tidak terus merebak.

Selain itu, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya penularan wabak tidak terputus dalam tempoh dua minggu ini.– HARAKAHDAILY 19/3/2020