ATM tangguh latihan, bersama tangani Covid-19

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menangguhkan sebarang aktiviti latihan bagi mematuhi perintah Kawalan Pergerakan untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang berkuat kuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac depan.

Advertisement

Walau bagaimanapun ATM menekankan aspek keselamatan negara tetap didahulukan dan semua operasi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara tetap dilaksanakan.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang berkata, arahan dikeluarkan bagi menyahut perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lepas yang mengeluarkan perintah kawalan pergerakan berkenaan.

“Saya ingin ingatkan semua warga ATM untuk patuhi perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac serta arahan semasa yg dikeluarkan di peringkat perkhidmatan darat, laut dan udara,” kata Affendi.

Beliau berkata demikian pada hari ini dalam perutusan khas kepada warga ATM untuk bersama mengikuti ketetapan perintah kawalan pergerakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Affendi turut mengingatkan anggotanya supaya mengambil sikap peduli saranan pencegahan Covid-19 demi keselamatan dan perlindungan para anggotanya, keluarga dan masyarakat.

“Tidak perlu membuat pembelian panik, tidak perlu pulang ke kampung sekiranya tiada sebarang urusan kecemasan, ‘Please stay at home’. 

“Fahami maksud “social distancing” jagalah kebersihan diri dan dapatkan rawatan awal sekiranya terdapat simtom virus ini pada diri anda. 

“Semua amalan tersebut akan mengurangkan risiko dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Ingat! mencegah adalah lebih baik dari merawat,” kata Affendi.

Affendi turut mengarahkan setiap perkhidmatan tentera laut, air dan darat memperincikan aspek operasi latihan khusus, ‘exercise’, pentadbiran dan logistik agar pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dipatuhi tanpa berlaku percanggahan. – HARAKAHDAILY 20/3/2020