COVID-19: Mengajak kita kembali pada Allah

ALLAH datangkan COVID-19 nak suruh kita sedar bahawa kiamat dah dekat. Sebab sebelum ini semua tanda dan alamat-alamat itu berlaku tempat orang.

Gempa bumi, tsunami, tanah tenggelam, perang besar, kemarau panjang, letusan gunung berapi bertubi-tubi… dan lain-lain. Semuanya berlaku di tempat orang.

So kita dekat sini lalai, leka dan tidak ambil cakna. Maksiat dilakukan penuh berani bahkan bangga pula memperkenalkan negara kita mesra LGBT, mesra Liberalisme dan bagai-bagai lagi kepincangan.

Advertisement

Allah nak ajar kita. Dulu kita tak pernah kisah masjid dan surau lengang ke tidak. Dulu kita tak rasa nikmat solat Jumaat.

Dulu kita tak rasa nikmat bersosial. Sekarang Allah tarik nikmat itu. Supaya kita tidak sombong lagi. Supaya kita dapat bersendiri dan bermuhasabah.

Benar… Kiamat memang sudah dekat. Mohonlah agar kita tidak sempat melihat dan menghadapi kiamat itu. Kerana ia sangat dahsyat, dibimbangi iman kita yang rapuh ini tidak mampu menghadapinya.

Sebelum ini gunung berapi itu meletus tidak serentak. Cuba bayangkan jika semua gunung berapi yang ada di daratan dan di bawah lautan itu meledak serentak.

Bukankah dunia ini akan gelap pekat diliputi asap dan debu. Tsunami berlaku serentak, sehingga semua tanah-tanah lembah dan bandar-bandar besar di pinggirnya runtuh dan tenggelam.

Manakala di daratan pula runtuhan tanah serta gempa bumi berlaku serentak. Waktu itu di mana kita? Manusia sudah tidak menghiraukan sesiapa lagi selain dirinya…

Membayangkannya sahaja kita sudah takut dan gerun. Maka kembalilah kepada Allah sebelum murka Allah itu menjadi kenyataan. Kita masih ada kesempatan.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/3/2020