COVID-19: Syiar Islam teruskan berkumandang

TAMBUN: Walaupun amalan wajib dan kegiatan masjid serta surau ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, namun laungan Azan dan bacaan ayat al-Quran wajar terus dikumandangkan.

Advertisement

Juara Pencetus Ummah, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed dalam muat naik di laman Facebook peribadinya mengemukakan saranan tersebut agar Syiar Islam sentiasa dizahirkan.

“Cadangan ambe (saya), (setiap) masjid dan surau (boleh) pasang bacaan (ayat) al-Quran 30 minit sebelum masuk waktu (solat fardhu) dan selepas masuk waktu (azan). Jangan biar sunyi,” cadangnya.

Menurutnya lagi, suasana di kawasan taman perumahan mulai menghadapi situasi sunyi sepi dan ia sepatutnya memberi ruang dan peluang supaya suasana bi’ah solehah dapat dilaksanakan.

“Kita dah molek (baik) ada peluang macam ini, kita (boleh) manfaatkan untuk dakwah Islam. Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita boleh cuba lahirkan suasana bi’ah solehah,” serunya.

Jelas beliau, tindakan tersebut tidak mengganggu ketenteraman awam lebih-lebih lagi pada orang bukan Islam, sebaliknya kata Ustaz Syed yang juga Ketua Penerangan Ulamak Tambun bahawa itu adalah dakwah.

“Dakwah ini bukan menggangu ketenteraman, ramai orang bukan Islam tak kenal Islam sebab kita lambat dekati, ramai dalam kalangan mereka gemar dan teringin mendengar ayat suci al-Quran, tetapi sumber mereka terbatas mungkin kerana suasana keluarga dan persekitaran.

“Ada ramai orang bukan Islam gemar mendengar ayat al-Quran, dan turut mengatakan bahawa ia sangat tenang ketika alunannya didengari. Mereka turut mengatakan ia tidak seperti lagu-lagu lain. Lagu lain, buat orang pening dan serabut bila dengar banyak kali,” ujarnya.

Selain itu, Ustaz Syed Bakri turut menyatakan rasa simpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga, rakan taulan serta lain-lain kerana dijangkiti virus COVID-19 itu.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bawa kes terkumpul melibatkan jangkitan virus Corona di Malaysia secara kumulatif adalah sebanyak 900 kes sehingga 19 Mac 2020 dan turut merekodkan dua kematian.

Sebagai langkah berjaga-jaga, nasihat beliau, semua rakyat Malaysia mestilah mematuhi perintah yang diumumkan Perdana Menteri itu agar kemaslahatan ini dapat dibendung dengan baik dan terkawal. – HARAKAHDAILY 20/3/2020