Covid-19: Tentera digerakkan Ahad ini

Defence Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob speaking to reporters after chairing his first ministry's post-cabinet meeting on Friday . NORAFIFI EHSAN / The Star

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerakkan bermula Ahad ini bagi membantu pihak polis dalam memastikan pematuhan rakyat kepada arahan agar tidak keluar rumah berikutan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat hari ini supaya pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan lebih terlaksana.

Bagaimanapun katanya, laporan daripada pihak polis mendapati terdapat peningkatan peratusan berhubung pematuhan rakyat terhadap arahan supaya tidak keluar rumah.

“Kita harap rakyat akan terus patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di RTM hari ini.

Advertisement

Walau bagaimanapun katanya, masih ada yang berdegil dengan tidak mempedulikan arahan kerajaan serta pihak polis yang membuat pemantauan apabila masih lagi ada yang bermain di tapak permainan dan berada di restoran makan bersama rakan-rakan.

Menurutnya, pihak polis boleh menggunakan Akta Polis untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap rakyat yang berdegil, namun pada peringkat awal ini tindakan masih berhemah dilakukan.

“Sekiranya berdegil dan tidak berkompromi dengan arahan (kerajaan) tindakan undang-undang akan digunakan.

“Saya berharap tidak perlulah tindakan undang-undang dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau turut menafikan penyebaran berita kononnya akan adanya perintah darurat apabila mendapat perkenan daripada Yang di Pertuan Agong.

“Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambahkan panik di kalangan rakyat. Sebagai contoh ada audio, ‘posting‘ dalam Facebook yang mengatakan Menteri Pertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

“Saya tidak tahu Menteri Pertahanan mana. Tiada dalam perancangan kerajaan untuk umumkan darurat. Ada juga kata aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat diisytiharkan. Jadi, saya harap rakyat jangan mudah percaya kepada penyebaran berita palsu,” katanya.– HARAKAHDAILY 20/3/2020