Kematian ketiga Covid-19

KUALA LUMPUR: Angka kematian Covid-19 menjadi tiga kes apabila satu kematian baru direkodkan dari Hospital Tawau, Sabah hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa ketiga adalah daripada Kluster Ijtimak Tabligh Masjid Jamek Sri Petaling berusia 58 tahun meninggal dunia pada jam 6.27 petang.

Katanya, lelaki berkenaan dari kes ke-152 telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac dengan gejala masalah pernafasan (severe acute respiratory infection).

“Beliau diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Advertisement

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia jam 6.27 petang tadi. Takziah diucapkan kepada keluarga arwah,” kata Noor Hisham.

Malaysia merekodkan 1030 kes setakat ini ekoran kes baharu dilaporkan sebanyak 130 kes hari ini.

Majlis Keselamatan Negara melaporkan, 48 kes baru adalah dari Kluster Ijtimak Tabligh Masjid Jamek Sri Petaling manakala 26 kes lagi dilaporkan kritikal ditempatkan di ICU.

12 kes direkodkan sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 87 kes.

Dua kematian pertama wabak Covid-19 dilaporkan pada Isnin lepas melibatkan seorang peserta tabligh di Johor berusia 34 tahun, dan seorang warga emas di Sarawak.

Kes wabak Covid-19 meningkat saban hari, susulan itu kerajaan memerintahkan arahan kawalan pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac depan sebagai langkah memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.– HARAKAHDAILY 20/3/2020