Patuhi arahan kerajaan: Titah Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat negara ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan tidak keluar rumah.

Baginda bertitah supaya orang ramai membatalkan hasrat untuk balik kampung sekiranya tiada keperluan penting.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya meminta supaya rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Advertisement

“Jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting dan saya juga meminta supaya batalkan hasrat untuk pulang ke kampung serta jangan berkumpul atau hadir sebarang aktiviti sosial di luar rumah,” titah baginda menerusi Titah Diraja Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di stesen televisyen malam ini.

Dalam masa yang sama, baginda meminta supaya sebarang majlis kenduri ditangguhkan sehingga keadaan beransur pulih.

“Saya menasihati rakyat jangan panik kerana bekalan makanan dijamin cukup oleh pihak kerajaan.

“Rakyat juga jangan suka menyebar berita palsu dan paling penting jaga kebersihan diri, kerap membasuh tangan guna ‘hand sanitizer’ serta pakai topeng muka dan amalkan jarak sosial,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut meminta supaya orang ramai memainkan peranan membantu membendung penularan wabak Covid-19.- HARAKAHDAILY 20/3/2020