Tun Mahathir sukar kalahkan TS Muhyiddin

DI DALAM surat beliau kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan “pemberhentian Datuk Wira Marzuki Yahya daripada jawatan Setiausaha Agung BERSATU adalah tidak sah dan/atau wajar diketepikan”.

Advertisement

Alasan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir adalah Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) tidak menyatakan dengan jelas akan kaedah bagi Presiden untuk memberhentikan Setiausaha Agung BERSATU.

Kata Tun Dr Mahathir lagi, Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966 dan Fasal 29 Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) memberikan kuasa sepenuhnya kepada BERSATU untuk mentafsirkan Perlembagaan sendiri.

Adalah dipersetujui bahawa Fasal 13.9 Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) tidak menyatakan dengan jelas akan kaedah bagi Presiden untuk memberhentikan Setiausaha Agung BERSATU.

Begitupun, Fasal 29 Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) yang dipetik oleh Tun Dr Mahathir sendiri menyebut dengan jelas bahawa “Jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Perlembagaan ini atau mana-mana Peraturan yang dibuat di bawah kuasa Perlembagaan ini, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi adalah muktamad”.

Dan, berdasarkan kepada pengakuan-pengakuan Tun Dr Mahathir sendiri di dalam “Wawancara Eksklusif Sinar Harian Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad”, terbukti bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi adalah padu di belakang Tan Sri Muhyiddin.

Ini adalah pengakuan-pengakuan Tun Dr Mahathir tersebut:
(1) “(Dalam) Majlis Tertinggi saya dapati majoriti hentam saya. Bahkan orang yang benci kepada Muhyiddin tiba-tiba berkata bahawa mereka sekarang ini sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ataupun sebagai pemimpin parti dan tidak saya. Dan ramai jugaklah yang tolak saya.”
(2) “Jadi dalam BERSATU ini terdapat ramai yang nak supaya kita bergabung dengan Umno… Jadi saya kata kita tunggu sekejaplah, kita tengok satu hari saya letak jawatan, lepas itu nak lawan lawanlah. Tapi pendapat saya itu ditolak.”
(3) “Saya letak jawatan pasal parti saya tolak saya, tolak pendapat saya. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi saya mintak kita tangguh, jangan kita buat keputusan lagi, kita tangguh dulu. Mereka buat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan dengan kesedaran bahawa kalau kita keluar jatuh kerajaan. Jadi kita buat keputusan macam itu tak sokong saya macam mana saya nak kekal sebagai, apanama, pengerusi parti.”

Oleh itu, berdasarkan pengakuan-pengakuan Tun Dr Mahathir ini, maka nyatalah dalam perselisihan ke atas tafsiran ke atas Fasal 13.9 Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) ini, Tan Sri Muhyiddin akan menang kerana beliau menguasai Majlis Pimpinan Tertinggi dan “tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi adalah muktamad”.

Walau apapun, jika sekalipun Tun Dr Mahathir secara tiba-tiba menguasai kembali BERSATU di dalam pemilihan yang bakal berlangsung, ia tidak akan menjejaskan kedudukan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan baru pimpinan beliau pun.

Tun Dr Mahathir, di dalam “Wawancara Eksklusif Sinar Harian Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad”, sendiri mengakui: “Jadi tak lama lagi kita ada pemilihan dan mungkin Muhyiddin bertanding dan saya mungkin jugak bertanding dan tengoklah siapa menang, tapi kerajaan tak jatuh. Orang yang menyebelahi dia tu pegang jawatan, jadi kerajaan tak jatuh. Tinggal lagi dia mungkin tak jadi pemimpin BERSATU saja.”

Tegasnya, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh pendukung kerajaan baru kerana Tun Dr Mahathir akan sukar menang di dalam perebutan pucuk pimpinan BERSATU antara beliau dan Tan Sri Muhyiddin dan jika sekalipun Tun Dr Mahathir menang, kedudukan Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan baru pimpinan beliau tidak akan terjejas pun.

Kepada pihak-pihak yang masih mahu bertenggek di atas nama dan pengaruh Tun Dr Mahathir untuk kepentingan mereka, sudah-sudahlah berbuat demikian. Hormatilah penegasan Tun Dr Mahathir sendiri di dalam “Wawancara Eksklusif Sinar Harian Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad” bahawa beliau ‘hendak rehat’, lebih-lebih lagi di dalam suasana kritikal negara yang sedang berhadapan dengan serangan coronavirus ini.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 20/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.