Awas sanitizer tiruan muncul di Perlis

KANGAR: Kerajaan Perlis memandang serius lambakan produk yang mendapat permintaan tinggi sekarang, cecair pembasmi kuman dan topeng muka serta hidung (face mask).

Advertisement

Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar; Bioteknologi dan Teknologi Hijau; dan Kesihatan Teh Chai Aan berkata, kekangan bekalan membuka peluang muncul pula produk tiruan yang tidak menepati standard.

Katanya, lambakan produk sanitizer seolah-olah cendawan tumbuh selepas hujan, menimbulkan keraguan berkaitan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jika ada permintaan tinggi dalam masa singkat diisi lambakan produk yang tidak diketahui latar belakangnya. Kita bimbang produk tiruan menipu pengguna tentang isi kandungan. 

“Tidak kira sama ada produk tiruan ini jatuh dalam kategori mana pun, ia tetap bahaya kepada pengguna. 

Saya memantau penjualannya yang rancak di media sosial sekarang pada harga tidak munasabah,” katanya di sini.

Menurutnya juga produk berkenaan yang sepatutnya melindungi tangan daripada kuman dibimbangi boleh merosakkan kulit.

Oleh itu beliau berkata, orang ramai di Perlis dinasihatkan peka memilih produk terbaik yang dijamin ketulenan dan diiktiraf KKM bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menasihatkan orang ramai mengenalpasti produk penjagaan diri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Presiden PPMM, Lt Col (B) Che Hassan Che Johan berkata, lambakan produk (hand sanitizer) pelbagai jenama tidak dapat dipastikan mendapat kelulusan KKM atau sebaliknya.

Katanya, PMM menerima aduan secara tidak rasmi di Facebook mengatakan ada pengguna mengalami pengelupasan dan kulit menjadi kering selepas penggunaan hand sanitizer yang disyaki tiruan.  – HARAKAHDAILY 21/3/2020