Covid-19: 153 kes baharu, 1 kematian dilaporkan KKM

KUALA LUMPUR: Satu lagi kes kematian yang membabitkan wabak Covid-19 menjadikan jumlah setakat ini empat (4) kematian yang melibatkan kes ke-238, seorang lelaki warganegara tempatan berumur 50 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian keempat ini adalah daripada Kluster Ijtimak Tabligh Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini.

“Beliau (mangsa) telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac lalu dengan diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima.

“(Namun) kesihatan beliau dilaporkan semakin merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 jam 10.30 pagi tadi,” katanya menerusi sidang media yang turut disiar secara langsung dalam Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Advertisement

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 27 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 114 kes.

Bagaimanapun, terdapat 153 kes positif Covid-19 yang baru dilaporkan dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,183 kes setakat jam 12 tengahari.

“Berdasarkan siasatan awal daripada 153 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 90 kes adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh.

“Sehingga kini, sejumlah 37 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut 23 daripada jumlah ini memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 21/3/2020