Dunia pasca-COVID-19: Cahaya atau Zaman Gelap?

SETAKAT artikel ini ditaip, COVID-19 telah memakan korban 4 orang di Malaysia di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bersiap siaga untuk turun membantu pihak Polis di negara ini bagi menguatkuasakan perintah sekatan pergerakan. Dunia sedang menghadapi detik bersejarah sejak peristiwa wabak Maut Hitam yang bermula di Eropah hampir 700 tahun lepas yang membunuh kira-kira satu pertiga penduduk dunia ketika itu. Sejarah mungkin berulang nampaknya.

Advertisement

Virus, sejenis kuman terkecil berbanding jenis kuman yang lain di mana komuniti sains masih berdebat sama ada ia adalah benda hidup atau pun tidak kerana banyak ciri-ciri benda hidup tidak dimiliki olehnya tetapi ia mampu membiak dengan cara ‘merampas jentera’ dari mikroorganisma atau hos lain yang lebih kompleks dan menghasilkan protein melaluinya. Selain virus, satu lagi kuman yang dipertikaikan statusnya sebagai benda hidup ialah Prion iaitu sejenis protein yang terkenal menyebabkan penyakit Lembu Gila.

Ok, cukuplah intro mengenai virus itu. Apa yang perlu kita tahu ialah masa depan kita semua di negara ini atau pun dunia secara keseluruhannya. Sehingga kini vaksin untuk COVID-19 masih lagi di peringkat ujikaji. Dan ia memakan masa serta kos untuk dikomersilkan, itu pun mengikut beberapa laporan, vaksin pertama mungkin muncul seawal tiga bulan terakhir tahun ini. Maka logik untuk kita jangka bahawa penularan COVID-19 ini tidak akan terhenti dalam waktu terdekat.

Apabila kita menjenguk catatan sejarah masa lampau, maka kita boleh menilai apa yang mungkin akan terjadi setelah COVID-19 ini berlalu. Apa-apa pun ia bergantung kepada skala kerosakan serta angka kematian muktamad yang disebabkan oleh pandemik ini. Kita masih memerhati apakah ia bakal memberi kesan besar kepada negara-negara mundur dan membangun di benua Afrika, India dan Amerika Latin yang mana sistem kesihatan negara-negara di rantau itu dianggap tidak setanding Eropah yang makin teruk dilanda COVID-19 sekarang ini.

Ada beberapa perkara dalam kehidupan yang mungkin terkesan akibat dari berlalunya wabak berskala pandemik ini. Ia dapat dibahagikan kepada beberapa kategori, sama ada kesan ke atas polisi kerajaan, kesan ke atas teknologi dan inovasi, kesan ke atas persekitaran dan mungkin juga dari sudut kesan ke atas psikologi dan mentaliti. Paling terkesan sekali ialah elemen sosial dan ekonomi. Kita sedar sekatan pergerakan yang sedang terjadi hampir seluruh dunia hari ini memberi kesan terhadap periuk nasi ramai orang. Kita faham banyak agenda kerajaan atau pun agenda peribadi rakyat di luar sana terbantut dek kerana COVID-19.

Masyarakat dijangka akan makin peka terhadap pemvaksinan, penolakan terhadap hidangan makanan eksotik melibatkan haiwan-haiwan liar, penggunaan teknologi atas talian yang meminimakan kontak fizikal dalam apa jua urusan, dan juga kesedaran mengenai hal-ehwal kesihatan awam dan komuniti. Ia mungkin akan memberi kesan terhadap budaya bersosial pada sesetengah warga dunia selagi mereka tidak lupa apa yang pernah menimpa bangsa mereka, sepertimana di Itali di mana aktiviti bersosial dan tidak patuh kepada autoriti adalah antara faktor parahnya penularan COVID-19 di sana.

Dari segi ekonomi pula, ia mungkin memberi impak negatif dalam suatu jangka masa. Pasaran saham di dunia merundum, kemelesatan ekonomi global mampu menjatuhkan sesetengah kerajaan atau organisasi-organisasi peringkat antarabangsa yang bergantung kepada kestabilan politik dan perdagangan. Ia mungkin mencetuskan konflik antara kelas, akibat jurang golongan kaya dengan golongan miskin yang makin meluas, hingga memungkinkan tercetusnya pergolakan ke tahap perang sivil jika diprovokasi.

Namun, adakah semuanya adalah impak negatif sahaja pasca-COVID-19 nanti? Mungkin tidak. Sepertimana bencana-bencana yang pernah dilalui tamadun-tamadun manusia sebelum ini, pihak yang terselamat (survivors) biasanya akan bangkit untuk membina kehidupan baru dengan peluang-peluang baru yang biasanya muncul setelah populasi manusia berkurangan akibat sesuatu bencana. Jika dijenguk sejarah pasca wabak Maut Hitam dahulu, akibat kekurangan manusia, maka upah untuk buruh meningkat seiringan dengan kehendak pasaran.

Begitu juga dengan perkembangan teknologi serta inovasi. Pasca wabak Maut Hitam dahulu telah memunculkan beberapa ciptaan yang menyumbang kepada peningkatan tahap kebersihan serta kesihatan umum. Contohnya pembinaan sistem kumbahan yang lebih moden, tandas simbah, penemuan antibiotik dan penghasilan pakaian doktor wabak dengan topeng berbentuk paruh burung sebagai Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) terawal di Perancis dan Itali dalam abad ke-17. Ya, ia mengambil masa berpuluh, malah mungkin ratusan tahun untuk manusia bangkit semula.

Kita bakal melihat pasaran e-Dagang akan menjadi medium urus-niaga utama, perkhidmatan kurier yang makin diperkasakan serta penggunaan teknologi dron yang lebih meluas. Kita juga boleh menjangkakan teknologi robotik dan kepintaran buatan (A.I) akan menggantikan atau melengkapi tugas-tugas yang secara tradisionalnya dijalankan oleh manusia. Kita mungkin akan melihat sistem kewangan baru berasakan ekonomi digital yang meminimakan transaksi fizikal. Dan sudah semestinya kita akan lihat pengaruh badan-badan dunia seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan jadi lebih hebat di bawah Tata Dunia Baru (New World Order).

DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
21 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 21/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.