PATRIOT jangan tambah kegusaran rakyat

KUALA LUMPUR: Presiden PATRIOT, Brig. Jen. (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji tidak sepatutnya mempersoalkan secara terbuka kuasa Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengerahkan tentera ketika penularan wabak Covid-19.

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad yakin PATRIOT mempunyai saluran terus kepada Menteri berkenaan dan sebarang cadangan dan pandangan boleh dikemukakan terus kepada menteri berkenaan.

Katanya, kini adalah masa untuk semua pihak sama-sama bekerjasama memastikan keadaan pulih seperti biasa dan kegusaran rakyat dapat diredakan.

Advertisement

Menurut beliau, PATRIOT terdiri dari mereka yang pernah berkhidmat di dalam angkatan tentera dan sudah tentu komen seperti itu boleh menyebabkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menangani masalah yang di hadapi terhakis.

“Sekiranya rakyat hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan maka sudah tentu rakyat akan menjadi panik dan keadaan akan menjadi tidak terkawal,” tegasnya.

Beliau menegaskan kemungkinan setiap arahan kerajaan akan dipertikaikan dan tidak akan dipatuhi oleh rakyat dan ini amat berbahaya.

Tambah beliau di dalam keadaan sekarang sebarang perbezaan perlu diketepikan demi kebaikan rakyat.

“Rakyat menghargai keprihatinan PATRIOT tetapi saya yakin PATRIOT mempunyai saluran terus kepada Menteri berkenaan dan sebarang cadangan dan pandangan boleh dikemukakan terus kepada Kementerian Pertahanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2020