Sumbangan KRAiTiFF ringankan beban ‘frontliners’

KUALA KRAI: Memahami dan prihatin terhadap petugas barisan hadapan yang komited melaksanakan usaha mengekang penularan COVID-19, Khidmat Komuniti Ustaz Abdul Latiff (KRAiTiFF) telah menggerakkan pasukannya.

Advertisement

Melibatkan beberapa petugas dengan disertai sama anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Kuala Krai, mereka telah menghantar bekalan makanan buat staf Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini semalam.

Turut disediakan sempena operasi ini adalah barangan keperluan peribadi untuk disumbangkan kepada Pesakit Dalam Pemantauan yang dikuarantin di bangunan hospital lama Kuala Krai.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, khidmat bermula semalam itu akan diusahakan berterusan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan penghantaran tiga kali setiap hari.

“Usaha kecil ini dibuat untuk membantu meringankan beban yang terpaksa dipikul khususnya oleh frontliners yang bertugas mengorbankan masa dan menggadai nyawa mereka demi keselamatan kita semua.

“Terima kasih kepada Dr Mohd Izhar Shah, Timbalan Pengarah HSIP dan team yang sedia menerima khidmat tidak seberapa dari kami ini,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru agar memperbanyakkan doa, mematuhi arahan pihak berkuasa, duduk di rumah dan jangan keluar sekiranya tiada keperluan mendesak. – HARAKAHDAILY 21/3/2020