Covid-19: Sidang DUN secara tertutup

KUALA TERENGGANU: Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, pada 23 Mac 2020 ini, hanya akan berlangsung secara tertutup.

Advertisement

Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Zulkifly Isa memaklumkan persidangan Dun Terengganu pada hari Isnin, 23 Mac dibuat secara tertutup tanpa liputan media.

“Bagi menghormati arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kepentingan menjalankan sesuatu persidangan DUN mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, maka Sidang Dun pada hari Isnin, 23 Mac ini adalah tertutup dan tanpa liputan media.

“Sidang Dun Terengganu hanya berjalan setengah hari dengan diedarkan titah ucapan DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sahaja tanpa istiadat perasmian.

“Bagi pihak pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kami memohon maaf atas segala kesulitan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, Yang di-Pertua (Speaker) DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri Malaysia mengenai wabak Covid-19, Persidangan DUN itu tanpa majlis istiadat pembukaan Tuanku Sultan Terengganu seperti tahun sebelumnya.

Menurut beliau, Perkara 16(1), Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menetapkan Tertib Pekerjaan Dewan mengikut pertimbangannya.

Katanya, persidangan DUN Terengganu kali ini juga tidak melibatkan ketua-ketua jabatan, pemerhati dan liputan media tetapi hanya dihadiri oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja. – HARAKAHDAILY 22/3/2020