Israk Mikraj: Pengajaran dan pengiktibaran (رحلة تشريف و تكريم)

ISRAK Mikraj adalah satu perjalanan Baginda di waktu malam yang merupakan kemuliaan dikurniakan kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W selepas Baginda berdakwah dalam keadaan yang penuh mehnah dan tribulasi lebih kurang sepuluh tahun di Kota Makkah Al-Mukarramah.

Advertisement

Ujian tersebut tidak hanya berlaku terhadap dakwahnya, lebih dari itu, ujian paling besar ialah Baginda tidak ada lagi pembantu sumber ekonomi di mana sebelum itu Saidatina Khadijah R.A adalah sumber utama dalam membantu Baginda, begitu juga Baginda kehilangan bapa saudaranya Abu Thalib yang mana beliau merupakan benteng dari ugutan puak Quraisy.

Oleh yang demikian, setelah wafat keduanya itu Allah Taala menenangkan Baginda dan memuliakan dengan peristiwa Israk dan Mikraj, oleh itu peristiwa ini dikenali oleh para ulama sebagai Rehlah Tasyriff wa Takreem.

Diantara pengajaran utama disebalik peristiwa ini ialah:

(1)    Cabaran iman orang islam masa kini dalam mempercayai Israk dan Mikraj, kerana ia berlaku tanpa menggunakan alatan canggih, dan tiada lagi kemampuan manusia yang berbuat perjalanan secepat itu.

(2)    Mentauhidkan Allah S.W.T serta menyifatkan-Nya dengan segala kesempurnaan  dan mensucikan-Nya dari segala kekurangan.

(3)    Ketika Rasul mengimamkan solat serta diikuti para Anbiya’. Peristiwa ini merupakan pengisytiharan bahawa Baginda bukanlah Rasul untuk orang Arab sahaja, Baginda adalah Rasul bagi umat seluruh alam.

(4)    Tugas pendakwah Islam adalah mengembalikan umat kepada agama fitrah iaitu Islam, ia terbukti ketika Rasul memilih untuk minum air susu berbanding arak yang telah dihidangkan kepada-Nya oleh Jibril A.S

(5)    Institusi Masjid sebagai markas utama umat Islam untuk mengembangkan dakwah, ia terbukti bahawa Rasul diisrakkan bermula dari masjid (Masjidil Haram) dan berakhir juga di masjid (Masjidil Aqsa).

(6)    Allah mendidik para pendakwah bahawa tugas berdakwah ini adalah keutamaan, walaupun Saidatina Khadijah bantu ekonomi,Abu Thalib sebagai perisai, semua itu sebagai asbab. Yakinlah, bahawasanya yang membuka hidayah adalah Allah jua.

Mengambil peluang sempena memperingati peristiwa agung Israk Mikraj pada tarikh 27 Rejab bagi setiap tahun ini dan dalam suasana kita sedang berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 yang telah mengakibatkan lebih 1,000 kes dan 8 kematian yang dicatatkan PAS Kawasan Tebrau menyeru untuk kita semua kembali bermuhasabah agar memperbaiki hubungan kita dengan Allah dalam masa yang sama terus bersabar serta mengikut arahan kerajaan dari masa ke semasa sebagai ihktiar wajib seorang manusia.

Akhir kalam, saya menyeru kepada semua ahli gerakkan PAS yang menjalankan dakwah dan tarbiyah untuk mengambil ibrah peristiwa Israk dan Mikraj ini sebagai semangat baru dalam episod dakwah kepada sekalian umat islam di bumi Malaysia khususnya serta  diseluruh negara amnya, dan menjadi sebaik-baik ummat Nabi Muhammad S.A.W.

سيروا على بركة الله

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

USTAZ KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Yang DiPertua
PAS Kawasan Tebrau – HARAKAHDAILY 22/3/2020