Keajaiban dan mempercayai ‘Kun Fayakun’ Allah

ALHAMDULILLAH Allah masih memberi belas ihsan dan memanjangkan nafas kita, kita dapat menyambut lagi ulangtahun peringatan Israk Mikraj di tahun ini.

Advertisement

Namun, di saat ini, ada yang dalam kesedihan kerana kehilangan orang tersayang disebabkan penyakit tertentu, dan khususnya kerana wabak COVID-19 yang hebat melanda di seluruh dunia.

Justeru, saya ingin mengajak semua untuk terus bertahan dan bersabar, dengan sama-sama percaya kepada kekuatan dan iradat Allah, “Kun Fayakun” (“Jadilah, maka jadilah…”)

Mari kita hayati kisah Israk Mikraj yang agung, Nabi S.A.W dibawa Israk (berjalan malam) dari Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin. Kemudiannya dari situ, Nabi Mikraj (diangkat ke langit). Ini bukanlah perjalanan rohani, tapi merupakan sebuah perjalanan fizikal yang sebenar-benarnya.

Begitulah jika Allah mengkehendaki, maka akan terjadi segala sesuatu. Seperti juga dengan wabak Corona Virus (COVID-19) yang melanda seluruh dunia khususnya di Malaysia, merupakan salah satu tanda kekuasaan dan iradat Allah.

Maka hendaklah kita yakin akan kekuasaan Allah yang akan menyembuhkan dan mengembalikan keadaan kepada asal, bahkan lebih baik lagi.

Tugas kita adalah memperbanyakkan istighfar memohon ampun kepada-Nya, dan memohon sesungguhnya agar Allah mengasihani kita semua dan menghapuskan wabak ini dengan seberapa segera. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk patuh pada arahan ulil amri (pihak berkuasa) serta mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Ini juga bahagian dari ibadah dan jihad.

Ambillah kesempatan semasa tempoh kawalan pergerakan di bulan Rejab dan Syaaban ini untuk kita menambahkan amal ibadah, dan bersedia menyambut bulan istimewa, Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi.

Semoga semua urusan kita dipermudahkan Allah S.W.T.

DR MARDHIAH HAYATI SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak
Sesi 2019-2021 – HARAKAHDAILY 22/3/2020