Kedudukan Dr Rais Hussin tak dapat dipertahankan

JARANG bagi saya untuk mempunyai masalah peribadi dengan mana-mana pihak. Oleh itu adalah mengejutkan bila beberapa orang rakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menceritakan kepada saya mengenai tindakan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, menyerang saya secara peribadi semalam.

Advertisement

Benar saya pernah mengkritik beliau sebelum ini tetapi ia bukanlah kritikan peribadi, malah dalam komentar saya pada 15 Julai 2018 saya menyebut saya bersetuju dengan kenyataan beliau dalam Free Malaysia Today pada 14 Julai 2018 bahawa pengiktirafan terhadap UEC bukanlah termasuk dalam 10 janji 100 hari pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Saya hanya mengkritik beliau bila beliau melalui tulisan dalam MalaysiaKini pada 22 Mac 2019 terlalu lantang mempertahankan DAP dengan menyebut bahawa DAP merupakan sebuah parti berbilang kaum yang boleh menjadi pro-Melayu serta yang meletakkan dan akan terus meletakkan bilangan calon Melayu muda paling ramai dalam pilihan raya.

Begitu juga bila beliau melalui tulisan-tulisan dalam MalaysiaKini pada 25 dan 27 Mac 2019 terlalu lantang mempertahankan Nurul Izzah Anwar yang diserang oleh ramai pemimpin BERSATU kerana menyebut dalam temuramah dengan The Straits Times pada 24 Mac 2019 mengenai kesukaran bekerja dengan “bekas diktator”, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Dr Rais Hussin waktu itu turut menyebut mengenai “a Leviathan” yang selari dengan tema “bekas diktator” yang digunakan oleh Nurul Izzah, membela Nurul Izzah dengan menyebut Nurul Izzah adalah salah seorang arkitek sebenar PH dan menghina BERSATU dengan menyebut BERSATU tidak ada apa-apa kalau tidak kerana PH.  

Begitupun, apa yang saya kemukakan di dalam tulisan-tulisan saya waktu itu hanyalah analisa objektif ke atas tulisan-tulisan Dr Rais Hussin, khususnya dengan mengemukakan fakta bahawa bilangan calon Melayu muda DAP di dalam PRU14 hanyalah 4 orang sahaja sekali gus membuatkan saya bertanya kepada beliau “di manakah pro Melayunya DAP”.

Saya cukup hairan bagaimana BERSATU masih boleh menyimpan seorang pemimpin yang pernah secara terbuka didakwa “adalah selamanya pengikut Anwar dan pengintip dalam BERSATU” (“has always been an Anwarista and a mole in BERSATU”) pada satu kedudukan yang sangat penting seperti sebagai Pengerusi Biro Strategi dan Dasarnya.

(Sehubungan dakwaan ini, menarik sekali bila didapati bukan tweet para pemimpin BERSATU yang Dr Rais Hussin retweet mutakhir ini, tetapi adalah tweet para pemimpin seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah dan Wong Chen selain Liew Chin Tong, Hannah Yeoh, Ong Kian Ming, Syahredzan Johan, Dyana Sofya dan Khalid Samad.)

Lebih-lebih lagilah di dalam keadaan di mana BERSATU sedang bekerjasama dengan PAS yang sebelum ini tidak pernah terlepas daripada caci-maki beliau maka kedudukan Dr Rais Hussin sebagai Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU sudah pastilah semakin tidak dapat dipertahankan lagi kerana keberadaan beliau boleh menjejaskan kerjasama ini.

Di bawah ini disertakan tiga contoh caci-maki Dr Rais Hussin terhadap PAS:
(1) “Setan adalah lebih boleh dipercayai berbanding PAS.” (“Satan is more trustworthy than PAS.”)
(2) “Hadi adalah contoh hidup pedagang Islam dan pembohong tegar.” (“Hadi is a living example of merchant trader of Islam and he lies so generously.”)
(3) “Perkahwinan PAS dan Umno adalah sumbang mahram.” (“The political marriage of PAS and Umno is nothing but sheer incest.”)

Selaku penentang utama kerjasama BERSATU-PAS, yang beliau sifatkan tidak akan menguntungkan kerana PAS adalah ‘peniaga’ Islam yang akan lakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup, bila kerjasama ini berlaku beliau sepatutnya terus meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU jika beliau ada setitik maruah.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.