Salurkan bantuan terus kepada MC dan JMB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri wajar membantu malah menyalurkan bantuan kewangan kepada Perbadanan Pengurusan /Management Corporation ( MC ) dan Badan Pengurusan Bersama /Joint Management Body ( JMB ) yang menghadapi masalah untuk memungut yuran penyelenggaraan daripada pemilik kediaman di pembangunan berstrata.

Advertisement

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH ), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, dalam keadaan penularan wabak Covid-19 dan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan ramai yang berhadapan dengan pengurangan pendapatan.

Katanya, ini berlaku sama ada mereka diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji atau tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Menurut beliau, akibatnya ramai yang akan menghadapi masalah untuk melunaskan komitmen kewangan bulanan mereka.

“Kami mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat meringankan beban mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap perhatian juga dapat diberikan untuk membantu MC dan JMB yang menguruskan pembangunan berstrata masing-masing.

Menurut beliau, di dalam keadaan sekarang, sudah tentu ramai pemilik kediaman yang tidak dapat membayar yuran penyelenggaraan mereka.

Akibatnya, kata beliau, MC dan JMB tidak dapat menunaikan komitmen kewangan mereka seperti bil-bil utiliti, kos pembersihan atau kos penyelengaraan lif.

Katanya jika komitmen ini gagal dipenuhi maka sudah tentu pembangunan strata tersebut akan gagal diselenggara dengan baik malah terdapat perkhidmatan kritikal yang terhenti sama sekali.

“Justeru itu kami berharap Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat membantu MC dan JMC yang menghadapi defisit di dalam akaun mereka.

“Ianya boleh dilakukan menurut keperluan bagi MC dan JMB yang berhadapan dengan masalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2020