Sidang Dun Kelantan ditangguhkan

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang dijadual esok ditangguhkan kepada 12 dan 13 April hadapan.

Advertisement

Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, penangguhan itu diputuskan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sejak 18 hingga 31 Mac ini.

“Sepatutnya persidangan Dun mulai esok yang bermula dengan perasmian oleh Tuanku Sultan Kelantan. Jadual awal sidang Dun sehingga Khamis ini.

“Bagaimanapun kerajaan negeri menangguh persidangan tersebut berikutan perkembangan wabak Covid-19 yang berlaku sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Persidangan itu merupakan yang pertama tahun ini. Setiap tahun persidangan Dun diadakan tiga kali termasuk pembentangan belanjawan pada akhir tahun. – HARAKAHDAILY 22/3/2020