COVID-19 dan rokok, dua-dua perlukan kesedaran

ROKOK membunuh

(1) Islam menuntut umatnya supaya menjaga kesihatan. Sistem penjagaan kesihatan cukup lengkap diajarkan oleh Baginda S.A.W yang gagal dipraktikkan oleh Umat Islam.

Antara yang kegagalan Umat Islam dalam penjagaan kesihatan ialah ‘rokok’. Masih lagi ada yang ingin bersandar dengan hukum khilafiah yang tidak berkesudahan.

(2) Ada juga yang boleh husnuzzon dengan rokok, menganggap bahawa paru-parunya masih sihat dan kuat untuk melawan racun rokok yang diperakukan.

(3) Laporan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan beliau berkata rokok direkodkan sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun. [1]

Di Amerika, kematian disebabkan rokok seramai 480,000 orang setahun. Manakala kematian disebabkan terdedah dengan asap rokok seramai 41,000. [2]

Atau bahasa mudahnya, seramai 1300 orang mati setiap hari di Amerika disebabkan rokok. Ia merupakan 1/5 jumlah kematian di Amerika yang direkodkan.

Advertisement

(4) Menurut kajian Global Burden of Disease, lebih daripada 8 juta orang mati seluruh dunia secara berisiko akibat merokok pada tahun 2017. [3]

Angka yang menakutkan. Lebih tinggi daripada serangan virus COVID-19 buat masa ini. Cumanya kematian disebabkan rokok dalam jangka masa panjang. Manakala COVID-19 mungkin sekitar 2 minggu.

Perlukan kesedaran

(1) Kenapa kita berbicara bab rokok ketika sedang buruknya malapetaka COVID-19? Kerana ia adalah bab kesedaran. Semua orang tahu bahaya rokok dan COVID-19, tetapi ramai yang tiada kesedaran.

Apabila sedang merebak COVID-19, ada yang masih relaks bersantai makan angin, melepak di warung. Sudah pasti perangai-perangai ini dikecam seantero alam.

(2) Cumanya apabila berbicara bab rokok, tak ramai yang nak kecam. Mungkin disebabkan kematian disebabkan rokok itu dalam jangka masa panjang, menyebabkan perokok tegar masih goyang kaki.

Masing-masing menyangka ‘masih ada masa’ untuk berhenti merokok. Manakala COVID-19 tidak boleh dihentikan, dan tidak punyai masa panjang untuk diselamatkan.

(3) Hakikatnya sama sahaja, Islam mengajar konsep:

لا ضرر ولا ضرار

“Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain”

Disebabkan tiada kesedaran, perokok tegar tidak sedar bahawa dia telah mengancam nyawa orang di sekelilingnya yang tidak merokok, termasuk anak dan isterinya sendiri.

(4) Apa hujah mereka? Semua orang akan mati. Kalau tak merokok pun mati juga. Hujah yang sama bagi mereka yang bersantai melepak beramai-ramai ketika serangan COVID-19.

Dalam hal ini, punca utama bukan sebab kejahilan (kebodohan) akan tetapi disebabkan kesedaran. Kesedaran itu bermula daripada diri sendiri.

Fatwa dan hukum

(1) Beberapa fatwa yang dipetik daripada web Mufti Wilayah Persekutuan. [5]

(a) Haiah Kibar Ulamak: Dari Lajnah Daimah Lil Buhuth al-Ilmiah wa Ifta’, Arab Saudi yang dibukukan melalui majalah al-Buhuth al-Islamiyyah 5/289 telah mengharamkan rokok.

(b) Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor: Mewartakan fatwa pengharaman rokok berkuat kuasa pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989. Di dalam Enakmen tersebut dijelaskan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi orang Islam.

(c) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.

(d) Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah: Berpegang kepada fatwa merokok adalah haram. Walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan, merokok boleh mendatangkan mudarat.

(2) Fikirkan. Beza antara rokok dan COVID-19 ialah rokok diambil oleh para perokok secara sukarela. Dibeli dengan wang Ringgit. Dihisap tanpa paksa dan dihembus sesuka hati. Paru-paru rosak.

COVID-19 pula menyerang sesiapa sahaja. Tiada siapa yang mahukan dia. Apatah lagi ia tidak dibeli dengan wang Ringgit. Sesiapa yang kena, dipaksa ke hospital untuk kuarantin.

(3) Bahkan dalam Islam secara khusus meletakkan penyelesaian bagi wabak adalah kuarantin sepertimana yang disabdakan oleh Baginda S.A.W, dan diamalkan pada zaman Saidina Umar.

Cuma dalam bab rokok, perlu jelas firman Allah S.W.T:

وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ

“Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”

(al-Baqarah: 165)

Hasil cukai rokok

(1) Bukan sekadar menyalahkan perokok tegar, tapi perlu sedar bahawa industri penghasilan rokok, dan syarikat-syarikat terbabit banyak memperolehi keuntungan.

Manakala COVID-19 pula, tidak menguntungkan sebarang syarikat. Bahkan merugikan banyak pihak. Mungkin sebab itulah ia ditentang oleh semua pihak secara sepakat.

(2) Pada Disember 2018, Jabatan Kastam melaporkan biasanya kutipan cukai rokok antara RM3.5 hingga RM3.6 bilion, dan dijangka meningkat pada 2019. [4]

Pada November 2019 Sidang Parlimen memberi respons bahawa kutipan cukai rokok dan tembakau bernilai RM4.4 bilion, iaitu antara Mei 2018 hingga September 2019.

(3) Dalam Sidang Parlimen November 2019 juga menyatakan bahawa cukai terhadap sekotak rokok sebanyak 70 peratus daripada harga jualan, selaras dengan saranan di bawah World Health Organisation Framework Convention On Tobacco Control (WHO FCTC).

Kita boleh bayangkan berapa banyak keuntungan hasil jualannya. Mungkin perlu difikirkan, apakah mekanisma yang paling sesuai terhadap syarikat-syarikat rokok.

(4) Dalam banyak kenyataan media, menggambarkan bahawa perokok lebih mudah dihinggapi dengan COVID-19. Mungkin dengan cara inilah mereka boleh bertaubat.

Kembalilah kepada saranan Islam, yang mengharamkan rokok kerana jelas isi kandungannya yang mampu membunuh perokok, atau orang sekelilingnya.

Bahaya rokok dan ikhtiar penyembuhan

(1) Catatan kematian perokok dan orang sekelilingnya bukanlah sedikit. Jauh lebih tinggi daripada COVID-19 buat masa ini. Tetapi mungkin ia tidak ditentang kerana menguntungkan.

Mungkin juga tak ditentang kerana ramai peminatnya. Mungkin perlu difikirkan kaedah yang sesuai untuk berhenti daripada ketagihan merokok, demi saranan agama.

(2) Antara kesan teruk akibat merokok ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak, ulser perut, penyakit jantung, strok dan banyak lagi kemungkinan

Menurut Pengarah Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Dzulkifli Abdul Razak, bahawa setiap rokok mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun. [5]

(3) Dalam permasalah ketagihan rokok, beberapa ikhtiar yang dicadangkan antaranya penggunaan cuka epal dicampur dengan air suam kemudian diminum.

Ada juga yang mencadangkan kulit limau purut yang dihiris halus, direndam dalam air panas dan diminum ketika suam. Ada juga yang mencadangkan Radix HGH11.

(4) Ini antara ikhtiar yang boleh dikaji lebih mendalam oleh para perokok tegar yang bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok atas faktor saranan agama.

Faktor terbesar untuk berhenti merokok adalah kesedaran dan keazaman untuk berhenti. Untuk menyelamatkan umat daripada terdedah dengan racun ini.

[1] https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/631169/amp

[2] https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/fast_facts/index.htm

[3] https://ourworldindata.org/smoking

[4] https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/507828/amp

[5] https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2634-bayan-linnas-siri-ke-18-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/3/2020