COVID-19, Israk Mikraj dan Umar Al-Khattab

WALAUPUN risau kerana kes semakin meningkat di hari keempat, tetapi lega kerana yang sembuh juga bertambah. Cuma apabila kedengaran berlakunya penipuan, kerisauan itu bertukar menjadi kemarahan. Pun begitu, marah juga bukan lesen untuk memaki hamun orang lain.

Berkata benar

Baginda S.A.W selepas diIsrak dan Mikrajkan, betapa kepahitan menyatakan kebenaran itu dirasai hingga dikenakan pelbagai tuduhan. Tetapi Baginda adalah seorang Rasul! Kebenaran tetap perlu disampaikan.

Baginda S.A.W memberi penjelasan mengenai ciri-ciri Baitul Maqdis dengan tepat hingga tidak dapat disangkal lagi. Namun, apa yang berlaku adalah penolakan dan kekufuran orang Makkah semakin bertambah. Sedangkan menyatakan kebenaran pun ditentang, lalu bagaimana pula jika menyembunyikannya, lalu diketahui orang?

Advertisement

Adalah suatu yang amat bercanggah dengan Sunnah, apabila sanggup menyembunyikan perkara sebenar. Seterusnya membahayakan nyawa orang lain pula. Orang beriman suri tauladannya adalah Nabi S.A.W. Berkata benar merupakan sifat Nabi, dan sifat orang beriman. Orang yang solat tidak layak untuk menipu.

Istana Umar di syurga

Kelebihan buat mereka yang sentiasa benar pada ucapannya ada pada batang tubuh Saidina Umar R.A. Hingga Baginda S.A.W mengucapkan:

“Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran itu terhadap lidah dan hati Umar”.

Saidina Umar tergolong antara Mubasyyirin biljannah. Selain daripada kedengaran tapak kaki Bilal R.A ketika Mikraj, Baginda S.A.W juga pernah bermimpi dan melihat istana dibina khusus untuk Saidina Umar.

Abu Hurairah R.A mengatakan:

“Ketika kami sedang bersama Rasulullah S.A.W, beliau bersabda, “Saat aku bermimpi. Aku melihat diriku sedang berada di syurga. Ku lihat seorang wanita sedang berwuduk di sisi istana. Aku bertanya, “Milik siapakah istana ini?” Mereka menjawab, “Kepunyaan Umar bin al-Khattab”. Kemudian aku teringat akan sifat cemburu Umar lalu aku pun berpatah balik. Lantas Umar menangis lalu berkata, “Apakah kepadamu aku akan cemburu wahai Rasulullah?”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ya, kebenaran itu sifatnya pahit, sama seperti ubat.

Ya Allah, angkatlah wabak ini dari tempat kami, izinkanlah ianya berlalu pergi sebagaimana di Kau izinkan ianya datang, ya Rabb.

Salam Israk Mikraj.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 23/3/2020