Hari ke-6 PKP: Kenapa penting rakyat “duduk di rumah”?

KUALA LUMPUR: Disebalik kes baharu termasuk kematian akibat COVID-19 yang diumumkan terus bertambah, masih terdapat rakyat negara ini bersikap ingkar apabila gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Dengan angka meningkat kepada 14 kematian dan pertambahan lagi 212 pesakit baharu menjadikan jumlah positif sebanyak 1,518 kes, dilaporkan masih terdapat rakyat yang masih bergerak keluar tidak berada di rumah sendiri.

Menurut rekod Majlis Keselamatan Negara bagi hari ke-6 PKP, masih terdapat 8 peratus atau lebih 3 juta penduduk yang degil terhadap arahan tersebut hingga terpaksa diberi amaran oleh pihak polis dan tentera.

Sungguhpun pesakit yang discaj juga bertambah 20 orang lagi menjumlahkan keseluruhan 159 kes telah pulih, tetapi penularan masih pada risiko tinggi memandangkan tempoh inkubasi COVID-19 adalah 14 hari.

Apatah lagi, jumlah kes baharu turut meningkat pada kluster lain di mana kini mewakili 38 peratus dan mempunyai kontak rapat yang juga luas dan ramai, maka PKP adalah kaedah terbaik untuk diakuri ketika ini.

Ia penting agar usaha pertahanan untuk memerangi COVID-19 ini dijayakan dengan pendekatan memutuskan rantaian penularannya yang dapat dilaksanakan dengan masing-masing rakyat menghadkan pergerakan.

“Duduk di rumah” yang ditetapkan PKP serta dikempenkan meluas oleh banyak pihak, telah disertakan dengan pelbagai inisiatif dan intensif diumumkan kerajaan dalam meminimumkan kesan jangka sederhana dari arahan ini.

Kerajaan terus prihatin dengan berusaha memberi bantuan dan kemudahan secara komprehensif sebagaimana telah dan akan diumumkan lagi dari masa ke masa sebagaimana dimaklumkan oleh Perdana Menteri.

Malah, banyak tohmahan dan skeptikal secara buruk yang cuba dihadapkan para pimpinan PH dan penyokong mereka terhadap kesungguhan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang terjawab secara tindakan penyelesaian.

Oleh itu, keutamaan rakyat ketika ini adalah untuk bersolidariti secara bertanggungjawab dengan mematuhi arahan, sekali gus menjadi dorongan dan kerjasama kepada pasukan barisan hadapan yang menangani situasi. 

Dalam masa sama amat penting untuk rakyat memahami tatacara sebenar bagi mendapatkan inisiatif atau intensif telah atau akan diumumkan tanpa tertipu oleh mana-mana pihak yang juga sedang mengambil kesempatan. – HARAKAHDAILY 23/3/2020