Lagi inisiatif ringan beban rakyat: PM

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini telah memutuskan beberapa inisiatif utama dalam membantu meringankan beban rakyat di negara ini dalam mendepani penularan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif tersebut adalah meeangkumi kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion.

“Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

“Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4% yang berkuatkuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian,” katanya dalam sidang media yang turut disiar secara langsung di RTM hari ini.

Advertisement

Keduanya, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyokong usaha menangani Covid-19.

Menurutnya, peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak Covid-19,” katanya lagi.

Ketiga, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis Covid-19.

Jelasnya, peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.

Katanya, peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

“Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik. Sebab itulah saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini.

Menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab kita bersama yang melangkaui batas politik,” jelasnya.

Keempat, melanjutkan masa dari 3 bulan kepada 6 bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta.

Penangguhan ini yang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN.- HARAKAHDAILY 23/3/2020