Masalah nelayan Kuala Muda dapat perhatian YB Penaga

KEPALA BATAS: ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan nelayan Pasar Bisik, Kuala Muda, Penaga bertempat di Pejabat ADUN Penaga dalam membantu nelayan menghadapi isu COVID-19.

Advertisement

Inisiatif ini merupakan tindakan susulan dari tinjauan dilakukan Ustaz Yusni ke pasar itu setelah menerima aduan daripada Ketua Unit Nelayan, Arifin Mat dan pihak berkuasa bahawa keadaan masih belum terkawal sepenuhnya.

Perbincangan bersama Arifin Mat dan Pengerusi Nelayan Seberang Perai Utara, Mahadi Mohd Radzi serta beberapa Ahli Jawatankuasa Nelayan lain bagi mencari kata putus agar semua pihak tidak terjejas teruk ekoran wabak COVID-19 ini.

Dalam mematuhi perintah anggota keselamatan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan pastinya nelayan-nelayan akan hadapi masalah untuk menjual hasil tangkapan kepada peraih mahupun masyarakat awam.

Hasil perbincangan dan persetujuan pihak nelayan dan ADUN Penaga, tempoh masa berniaga dihadkan daripada pukul 10 pagi sehingga 1.30 tengahari untuk masyarakat awam kecuali kepada peraih yang boleh berurusan terus dengan pihak nelayan.

Pembelian dengan harga yang telah ditetapkan yakni bukan harga bisik sebagaimana amalan biasa akan dilaksanakan buat masa ini demi mengurangkan masa pembelian.

Langkah-langkah keselamatan awal akan dilaksanakan dengan menghadkan pembeli kepada seorang sahaja termasuk kewajiban menggunakan hand sanitizer dan mask dalam setiap urusan pembelian.

Ustaz Mohd Yusni akan memantau perkembangan Pasar Bisik Kuala Muda serta mengharapkan nelayan dan masyarakat awam khususnya dapat bekerjasama dalam membendung penularan wabak COVID-19 ini. – HARAKAHDAILY 23/3/2020