Memulihkan ‘kesihatan ekonomi’ akibat COVID-19

EXTRAORDINARY times require extraordinary measures”

Advertisement

Ketika wabak COVID-19 tercetus di China dan mula tersebar di Malaysia, sudah wujud kebimbangan akan kesan negatif daripada wabak ini terhadap ekonomi serantau dan negara.

Namun banyak pihak memandang ringan akan risiko kemerosoton ekonomi walaupun ‘simptom’ awal sudah mula kelihatan dalam sektor pelancongan, perkilangan dan perkhidmatan. Akhirnya apabila statistik kes mula menunjukkan tren di luar kawalan, kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan ekonomi negara.

Pakej rangsangan ekonomi

Bermula pada 27 Februari, Tun Dr Mahathir telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM20 bilion bagi mengurangkan kesan kelemahan ekonomi akibat wabak COVID-19 dengan pendekatan serampang tiga mata:

  1. Memudahkan aliran tunai perniagaan yang terjejas;
  2. Membantu individu yang terjejas; dan
  3. Merangsang permintaan bagi perjalanan dan pelancongan.

Seterusnya pada 3 Mac, Bank Negara telah membuat keputusan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Menurut Bank Negara, pengurangan OPR ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, dalam keadaan kemerosotan ekonomi global akibat penularan wabak COVID-19 yang telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan perjalanan.

Pada 3 Mac juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan beberapa langkah segera akan diambil bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi dan fiskal negara, dengan memberikan penekanan terhadap pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan berimpak tinggi supaya dapat mendatangkan manfaat kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Seterusnya Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada 13 Mac telah mengambil langkah-langkah tambahan bagi membantu segmen ekonomi yang terjejas dengan COVID-19, antaranya:

  1. Bantuan kewangan RM600 sebulan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji;
  2. Diskaun caj elektrik untuk sektor komersial, perindustrian dan pertanian, khususnya sektor pelancongan yang terjejas (diskaun 15 peratus) dan sektor umum yang lain (diskaun 2 peratus);
  3. Pembayaran awal Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM200; dan
  4. Pelaksanaan projek kecil bernilai RM2 bilion bermula April 2020 di kawasan bandar dan luar bandar.

Pada 19 Mac, Bank Negara turut mengumumkan penurunan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) daripada 3.00 peratus kepada 2.00 peratus bagi meningkatkan kecairan dalam sektor kewangan, dengan anggaran RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan yang boleh merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

Selain itu pihak bank dan institusi kewangan turut mengambil peranan dengan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti penangguhan bayaran pinjaman (moratorium) termasuklah PTPTN, fasiliti pinjaman khas, dan pembiayaan semula kepada individu dan syarikat yang terjejas.

Di samping itu hampir semua kerajaan Negeri turut mengumumkan pelbagai insentif ekonomi untuk membantu rakyat dan peniaga yang terjejas dengan wabak COVID-19, samada dalam bentuk bantuan tunai secara one-off, pelepasan cukai pintu, dan penangguhan bayaran sewa dengan peruntukan berjuta ringgit untuk disalurkan terus kepada peniaga kecil dan rakyat.

Keberkesanan pakej ekonomi

Selain Malaysia, negara serantau lain seperti China, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam turut mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, malah peruntukan yang lebih besar turut diumumkan oleh negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Antara kelainan pakej rangsangan ekonomi di negara lain berbanding Malaysia adalah subsidi gaji kepada pekerja swasta yang dibayar terus oleh kerajaan (cth. UK, Canada, New Zealand), pengecualian cukai pendapatan individu dan syarikat, serta pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan kecemasan kepada kumpulan sasaran.

Secara umumnya, pakej rangsangan ekonomi adalah tindak balas biasa apabila sesebuah negara berdepan dengan kelembapan ekonomi kerana pihak kerajaan berperanan untuk merancakkan aktiviti ekonomi (pump-priming) ketika pihak swasta dan pengguna cenderung untuk tidak berbelanja.

Faktor yang menjadi penentu keberkesanan sesuatu pakej rangsangan ekonomi adalah kesan gandaan (multiplier effect) yang terhasil daripada setiap perbelanjaan kerajaan terhadap penjanaan pendapatan dalam ekonomi (income creation), yang turut bergantung kepada sentimen pengguna, keyakinan pelabur, dan harga komoditi, serta kecekapan dan ketelusan pelaksanaan di pihak kerajaan.

Ini kerana sebuah ekonomi adalah suatu rantaian (value chain) yang saling memerlukan. Apabila suatu sektor terganggu maka seluruh rantaian akan terjejas.

Terlebih penting adalah keberkesanan segala pakej ekonomi yang diumumkan kerajaan perlu dirasai oleh peniaga dan rakyat yang terjejas, samada secara langsung atau tidak langsung, khususnya golongan miskin bandar dan luar bandar seperti penoreh getah, pemandu teksi dan pekerja bergaji harian yang hidup umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Keutamaan perlu diberikan untuk mematahkan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dengan segera, supaya negara dapat memasuki fasa pemulihan kesihatan (health recovery) yang menjadi penentu utama kepada fasa pemulihan ekonomi negara dan rakyat (economic recovery).

Justeru tempoh kawalan 14 hari ini adalah amat kritikal, dan ‘kesihatan ekonomi’ tidak mampu untuk bertahan sekiranya tempoh 14 hari ini berlanjutan.

  • SYAHIR SULAIMAN
  • Penulis adalah pelajar ekonomi dan pengkaji politik.

HARAKAHDAILY 23/2/2020