Orang Islam sikapnya peka dan bersabar

ORANG beriman itu peka

(1) Hari ini apabila tersebarnya wabak COVID-19 rata-rata tertumpu kepada pemberhentian operasi surau dan masjid. Mata-mata tertumpu juga kepada perhimpunan Tabligh.

Menteri Agama, dan institusi keagamaan mengambil tindakan pantas berhadapan wabak ini. Termasuk PAS sendiri menghentikan sebarang aktivitinya.

(2) Sebenarnya ini merupakan tanda bahawa orang Islam atau orang beriman itu sepatutnya sangat mementingkan saranan Nabi S.A.W dalam penularan wabak ini.

Boleh bandingkan dengan kelab kelab malam, mall, pusat membeli belah, dan seangkatan dengannya. Masih lagi ada yang beroperasi dengan relaksnya.

(3) Warung dan restoran juga, ada yang beroperasi dengan begitu santai sekali. Melayan berita COVID-19 di warung, sambil minum kopi. Pusat membeli belah pakat panik beli barang dan stok.

Menjadikan pusat membeli belah dibanjiri orang. Sedangkan sepatutnya masing-masing digesa untuk kurangkan aktiviti luar. Di sini boleh faham bahawa sifat orang beriman itu ialah peka.

Iaitu peka dengan arahan-arahan yang selari dengan syarak. Sepertimana yang disebutkan dalam Hadis Nabi S.A.W bahawa apabila tersebarnya wabak, perlu kuatkuasakan sistem kuarantin;

Advertisement

إذا سمعتم بالطاعون بأرض فلا تدخلوها وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا منها.

“Jika kamu mendengar penyakit ta’un melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”

(Shahih Bukhari)

Suasana kegelisahan

(1) Dalam situasi yang terjadi pada hari ini, kita perlu untuk memahami perangai manusia, sepertimana firmanNya di dalam Surah al-Maarij 19-23;

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).”

إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعࣰا

“Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.”

وَإِذَا مَسَّهُ ٱلۡخَیۡرُ مَنُوعًا

“Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.”

إِلَّا ٱلۡمُصَلِّینَ

“Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”

ٱلَّذِینَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَاتِهِمۡ دَاۤىِٕمُونَ

“Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.”

(2) Mereka yang tidak membiasakan diri dengan bersolat dan bersabar, sentiasa dihurung dengan rasa gelisah. Perlu kembali meletakkan kepercayaan kepada Allah S.W.T.

وَٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِیرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِینَ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

(al-Baqarah: 45)

Rindu beramal

(1) Hari ini apabila berhadapan dengan perintah kawal pergerakan, timbul rasa rindu dan rasa kehilangan. Orang surau atau orang masjid akan rasa rindu untuk ke masjid.

Nabi S.A.W menyatakan bahawa 7 golongan yang mendapat naungan Allah S.W.T iaitu;

ورجل قلبه معلق بالمساجد

“Iaitu lelaki yang hatinya terikat dengan masjid.”

(2) Orang-orang PAS rasa seperti ‘mati kutu’ kerana biasanya sibuk bekerja untuk Islam siang dan malam. Kenderaan yang di‘lenjan’ saban hari rasa rindu untuk bergerak.

Biasanya waktu ini di kalangan ahli gerakan Islam sedang sibuk bermesyuarat agung. Sibuk berusrah dan liqo fikri. Memang tak sempat rehat. Itulah realiti bagi mereka yang ikhlas.

(3) Tetapi kali ini Allah S.W.T bagi rehat. Mereka yang tak biasa rehat, rasa rindu untuk ke medan. Mereka yang biasanya tak cukup tidur memikirkan mengenai Umat, hari ini terlebih tidur.

Ada yang mengambil masa kemas rumah, ada yang membaca buku, melayan internet dan sebagainya bagi memenuhi rutin sebagai seorang Muslim. Rindu itu masih ada.

(4) Pelajarilah daripada Sirah para Sahabat R.A. Mereka sangat rindukan syahid. Menunggu masa untuk berperang kerana inginkan syahid di medan.

Antara doa Saidina Umar R.A:

اللهم ارزقني شهادة في سبيلك، واجعل موتي في بلد رسولك

“Ya Allah, rezekikanlah kepada aku syahid di jalanMu, dan jadikanlah kematianku di negeri UtusanMu.”

Muhasabah

(1) Nabi S.A.W pernah bersabda sebagai peringatan;

لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا، إِلَّا فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا، وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ، إِلَّا أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَؤونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِم، وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ، إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ، وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا، وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ، إِلَّا سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ، فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ، وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ، إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُم

“Apabila perbuatan zina dilakukan secara terang-terangan di kalangan satu satu kaum, pasti akan merajalela di antara mereka penyakit ta’un (wabak penyakit menular) dan penyakit-penyakit yang sebelumnya tidak ada di zaman nenek moyang mereka.

“Apabila mereka terbiasa mengurangi timbangan (menipu dalam berniaga), pasti mereka akan dihukum dengan kepayahan bahan makanan dan kezaliman penguasa.

“Apabila mereka menolak mengeluarkan zakat harta mereka, pasti hujan tidak akan diturunkan dari langit. Sekiranya bukan kerana binatang ternak, mereka tidak akan diberi hujan.

“Apabila mereka melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, pasti Allah akan menjadikan musuh menguasai mereka. Sehingga musuh itu merampas sebahagian yang mereka miliki.

“Apabila para pemimpin mereka tidak berhukum dengan Kitab Allah dan tidak memilih apa yang diturunkan Allah, pasti Allah akan menimbulkan permusuhan ada di antara mereka.”


(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Realiti

(1) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah tadi, menggambarkan beberapa bentuk kejahatan yang telah digariskan bentuk-bentuk balasannya dengan jelas.

Ataupun dari sisi muhasabah, apabila turunnya sesuatu bala, maka boleh perhatikan bentuk bala tersebut dan boleh faham apa krisis yang perlu diubati.

(2) Kalau hari ini umat manusia diuji dengan wabak penyakit, walaupun ada sebahagian yang mengatakan ia adalah perang biologi, namun kita perlu muhasabah betapa gejala zina itu berleluasa.

(3) Pada 2018, Institut Kesihatan Umum telah menjalankan kajian terhadap 27,497 pelajar daripada 212 buah sekolah di seluruh negara. Laporan yang dikeluarkan amat membimbangkan.

31.9 peratus daripada pelajar sekolah menengah ini telah mempunyai pengalaman seks (sexual experience) sebelum berusia 14 tahun! [1] Boleh fikirkan.

Pada 2018, kes buang anak mencatatkan sebanyak 128 kes yang ditemui. Yang tak ditemui? Manakala Januari hingga Mei 2019 sebanyak 65 kes yang ditemui.

(4) Dalam Islam, penzinaan termasuk dalam hukum Hudud dan dibahaskan dalam Bab Jenayah. Semua sedia maklum hukumannya dalam Islam bagi orang bujang atau sudah berkahwin.

Cuma yang menjadi persoalan ialah, Malaysia masih lagi belum melaksanakan Undang-undang Jenayah cara Islam. Menyebabkan jenayah itu berterusan.

[1] http://wafiq.my/2018/10/30/seks-remaja-statistik-yg-membimbangkan/

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/3/2020