Penduduk miskin disumbang makanan asas

KOTA BHARU: Memandang ramai penduduk miskin terjejas akibat Covid-19, kerajaan negeri akan memberi bekalan makanan asas dan wang tunai kepada golongan terbabit.

Bekalan makanan asas bernilai RM100 disumbang Majlis Agama Islam Kelantan dan wang tunai sebanyak RM200 pula diberi kerajaan negeri.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu diberi kepada asnaf fakir miskin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan sentiasa memantau keadaan rakyat dalam suasana yang mencabar sekarang,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya juga bantuan itu diberi mengambil kira tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Kerajaan Kelantan baru-baru ini mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi menangani dan meringankan kesusahan rakyat yang kurang berkemampuan akibat penularan wabak Covid-19.- HARAKAHDAILY 23/3/2020