PKP: Usaha tangani isu pemasaran hasil pertanian

ISU pemasaran hasil pertanian antara dilema besar yang dihadapi petani dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Walaupun pergerakan kenderaan yang membawa hasil pertanian dibenarkan, tapi isu yang lebih besar ialah ruang pasaran yang sangat terhad bila pasar borong, pasar tani, pasar sehari dan pasar malam dihentikan operasi. Pasaraya juga menerima sejumlah kecil saja hasil berbanding dengan kemuncak hasil pengeluaran pertanian di sekitar Terengganu sekarang seperti tembikai dan sayuran.

Advertisement

Kelmarin saya menerima berita, dua lori membawa tembikai yang dah sampai ke Kedah terpaksa berpatah balik disebabkan tiada pemborong di sana yang sudi terima hasil. Saya dah minta bantuan khidmat komuniti dari Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sama-sama bantu beli tembikai dan agih kepada rakyat masing-masing. Lada yang tengah banyak hasilnya diproses jadi lada kering. Bilik-bilik sejuk milik FAMA dan TADC akan diaktifkan untuk simpan stok barangan yang tidak dapat dipasarkan disamping kita bersedia dengan sebarang kemungkinan yang tak dijangka.

Hasil akuakultur seperti kerapu hibrid juga langsung tiada pasaran. Ikan perlu terus diberi makan dalam keadaan saiz yang sudah sedia untuk dipasarkan. Bila saiz bertambah melebihi saiz pasaran, ikan akan jatuh nilai dan rendah permintaan.

Hari ini saya panggil mesyuarat khas bersama beberapa orang teraju sektor pertanian, perikanan dan penternakan untuk mencari solusi bagi isu-isu berbangkit. Doakan semoga dipermudahkan.

Kami terus bekerja dengan izin Allah. Saudara semua yang tiada urusan mustahak teruslah tinggal di rumah.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa
Kerajaan Negeri Terengganu
23 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 23/3/2020