Syarikat lakukan pelupusan haram akan ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang telah melakukan pelupusan haram sisa kimia atau Buangan Terjadual (BT) di Kuala Selangor.

Advertisement

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, perkara tersebut dikenalpasti di kawasan longgokan atau tapak pembuangan sampah haram, Jalan Dato’ Hussien, Sungai Sembilang, Jeram, kelmarin.

“JAS menegaskan bahawa selain daripada tindakan mahkamah, tangkapan boleh dibuat kepada mana-mana pihak yang melakukan pencemaran atau disyaki melakukan pencemaran di bawah peruntukan Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“JAS Selangor sedang menjejaki pemilik sisa kimia dan BT tersebut dan mengkehendaki tindakan pelupusan dan pembersihan segera diambil.

“Pada masa yang sama, kontraktor pengangkut BT dan Premis Yang Ditetapkan (PYDT) yang mempunyai rantaian dengan kes ini turut disiasat oleh JAS,” tegas kenyataan itu.

Bertindak atas laporan awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor pada hari sama, JAS telah menemui lebih 20 tong drum dipercayai mengandungi pelbagai jenis sisa kimia di kawasan tapak pembuangan sampah haram yang terbakar.

Direkodkan sebanyak 6 longgok buangan ditemui di kawasan berbeza yang terdiri daripada 20 drum silinder hitam dan merah berkapasiti 210 liter, 9 IBC tank putih berkapasiti 1,050 liter dan 8 tong plastik biru berkapasiti 25 liter.

“Buangan yang dilupuskan adalah terdiri daripada enap cemar pigmen (SW 416), pelarut organik (SW 322) dan bekas-bekas terpakai yang dicemari bahan kimia (SW 409) dan longgokan sarung-sarung tangan getah turut ditemui di samping sampah-sarap domestik.

“Sampel buangan telah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis komposisi buangan. JAS Selangor kini menyediakan Kertas Siasatan bagi mendakwa pihak-pihak yang terlibat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan lain-lain Seksyen yang berkaitan.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, pihak yang bertanggungjawab boleh didenda sehingga maksimum RM500,000 dan penjara mandatori sehingga 5 tahun. Kes pelupusan sampah domestik bercampur BT ini juga dirujuk kepada pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan.

“JAS ingin menarik perhatian bahawa penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran di seluruh negara diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa,” ujar kenyataan itu.

Dimaklumkan juga tindakan tegas akan diambil ke atas penjenayah alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan rakyat khususnya terpelihara. – HARAKAHDAILY 23/3/2020