Covid-19: Jangan anak tirikan rakyat di bawah pembangkang

SHAH ALAM: Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menafikan kebenaran mendapat peruntukan terus disalurkan kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) sejumlah RM30,000 seperti mana diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bagi pakej Selangor Prihatin Covid-19.

Katanya, semua sembilan orang ADUN pembangkang di Selangor hanya menerima peruntukan berjumlah RM150,000 dan bukan RM200,000 setahun sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Borhan Aman Shah dalam kenyataan media.

Advertisement

Menurut beliau, peruntukan itu bukan tambahan peruntukan ADUN, tetapi kebenaran menggunakan peruntukan perbekalan yang sebelum ini sehingga RM20,000 tetapi diputuskan penggunaan hingga RM30,000.

“Peruntukan ini bertujuan memberi keperluan bahan makanan kepada rakyat yang memerlukan ekoran penularan Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepatutnya Kerajaan Negeri juga membenarkan ADUN pembangkang menggunakan kaedah yang sama dari peruntukan yang diberikan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor menegaskan dalam keadaan negara berhadapan dengan musibah sepatutnya Kerajaan Negeri tunjukkan budaya politik matang dan sejahtera kepada keperluan rakyat.

Katanya bagi DUN Sijangkang belum ada penyelaras DUN yang baharu dilantik dan jangan dianak tirikan rakyat yang dalam kesusahan.

“Rakyat memerhati. Sampai bila ahli politik boleh mengamal budaya politik matang dan sejahtera kerana Covid-19 menyerang tidak mengira siapa,” tegasnya.– HARAKAHDAILY 24/3/2020