Covid-19: PAS santuni petugas ‘Frontliners’

BESUT: PAS merupakan sebuah parti politik yang lebih dekat dengan kerja-kerja kebajikan sama ada masalah yang berlaku dalam negara mahupun di peringkat internasional.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, PAS sudah sinonim dengan kerja-kerja kebajikan sejak sebelum menjadi kerajaan lagi.

Bahkan, kata beliau, gerak kerja kebajikan PAS telah melangkaui dunia antarabangsa melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Muslim Care Malaysia, Yayasan Amal Malaysia dan sebagainya.

“Hari ini, kita (PAS) dan Muslim Care Malaysia sama-sama membantu meringankan beban para petugas di barisan hadapan atau ‘frontliners’ dalam menangani wabak coronavirus 2019 atau dikenali Covid-19.

“Kami menyantuni petugas-petugas barisan hadapan seperti anggota Polis (PDRM) dan Tentera (ATM) yang berkhidmat mengawal pergerakan di jalan raya sekitar Besut,” ujarnya kepada Harakah semasa lawatan ke Pusat Kuarantin di Intitut Perguruan Sultan Mizan dan Institut Latihan Islam Wilayah Timur (ILTIM) Besut.

Menurutnya, pelbagai kempen dan penerangan nasihat dibuat melalui kuliah maya, facebook dan media sosial agar rakyat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami (PAS) dan Muslim Care Malaysia komited untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga penduduk di Besut ini khususnya supaya mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

“Ini dapat dilihat dalam kuliah-kuliah alam mayanya, facebook live yang bersiaran setiap hari bermula pukul sembilan malam menerusi laman web.

“Saya menyeru kepada semua rakyat di Malaysia supaya dapat mematuhi arahan dari pihak penguasa untuk tidak keluar rumah buat masa sekarang demi keselamatan dari wabak Covid-19 ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Besut turut menasihati kepada para petugas di pusat kuarantin supaya sentiasa menjaga keselamatan diri semasa bertugas.

“Anda semua adalah yang terbaik dan harapan saya semoga anda semua sentiasa dalam lindungan Allah SWT, dalam menjalankan amanah yang diberikan”, ujarnya.

Pada program itu, beliau juga turut menyampaikan sumbangan makanan kepada para petugas seperti Polis, Tentera, RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai tanda keperihatinan.

HARAKAHDAILY 24/3/2020