Covid-19: Sektor getah boleh beroperasi – Dr Khairuddin

KUALA NERUS: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia kepada rakyat di negara ini bermula 18 Mac lalu sepatutnya bakal berakhir 31 Mac ini.

Advertisement

Sepanjang tempoh PKP itu, rakyat umumnya dikenakan perintah ‘stay at home’ atau duduk di rumah sahaja serta dilarang bergerak bebas tanpa tujuan.

Justeru, dalam tempoh arahan PKP itu dilaksanakan semua operasi kilang dan perusahaan terpaksa ditutup yang sekaligus boleh menjejaskan ekonomi rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, tampil menjelaskan pihak yang terlibat dengan kelonggaran bekerja dalam sektor getah sepanjang operasi tersebut.

“Pertama, mereka adalah pemilik ladang atau pekebun kecil yang memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

“Kedua, pembeli getah berlesen yang masih sah dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan ketiga, Syarikat pemprosesan getah bagi memenuhi keperluan untuk penghasilan produk peralatan perubatan dan lain-lain,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Dr Khairuddin, semua pembeli getah berlesen dan syarikat pemprosesan getah wajar beroperasi seperti biasa bagi memastikan getah yang ditoreh oleh penoreh dapat dijual dan diproses.

Namun, katanya peringatan kepada peraturan keselamatan kesihatan sebagaimana taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu perlu dipatuhi sepanjang proses bekerja dan beroperasi.

Malaysia mencatatkan 14 kematian akibat kes Covid-19 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,518 kes positif sejak wabak itu dikesan awal Januari lalu.

Manakala, kenyataan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula meramalkan akibat serangan wabak Covid-19 ini, dunia mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada tahun 2020 dan kesannya menyamai krisis kewangan yang pernah berlaku 12 tahun lalu. – HARAKAHDAILY 24/3/2020