Nyawa terancam: Syaikhul Aqsa dipenjara mulai esok

DI TENGAH-tengah kekalutan dunia menghadapi serangan virus Corona, rejim Israel tanpa ada sebarang sifat kemanusiaan terus dengan keputusan mereka untuk memenjarakan Syeikh Ra’id Solah Sulaiman Abu Syaqrah atau lebih dikenali sebagai Syaikhul Aqsa (شيخ الأقصى).

Semalam (23 Mac 2020) Mahkamah Haifa menolak permohonan pasukan peguam Syeikh Ra’id yang meminta ditangguh pelaksanaan hukuman penjara bermula 25 Mac ini.

Februari lalu sebuah mahkamah di Haifa telah menjatuhkan hukuman 28 bulan penjara ke atasnya kerana dituduh menganjurkan keganasan dan terlibat dengan pertubuhan haram. Sebahagian pertuduhan itu dikaitkan dengan ucapan dan khutbah beliau ketika meletusnya isu pemasangan pintu elektronik di Masjidil Aqsa pada 2017.

Advertisement

Hamas dalam satu kenyataannya hari ini mengecam keputusan mahkamah rejim itu dan menyifatkannya sebagai satu tindakan rasis dan jenayah ke atas orang Palestin.

Juru cakapnya, Hazim Qasim berkata, pemenjaraan Syeikh Ra’id dalam suasana COVID-19 mengancam nyawa manusia adalah bukti sikap rejim Zionis yang meringan-ringankan keselamatan nyawa rakyatnya sendiri.

“Israel telah melempar ke dinding Undang-undang Antarabangsa dan prinsip hak asasi kemanusiaan yang disepakati dunia.”

Mereka tahu sejarah perjuangan Syeikh Ra’id yang sentiasa mengutamakan keamanan dan bukannya keganasan.

Syeikh Ra’id dilahirkan pada 10 November 1958, sebagai warganegara Israel. Dipilih sebagai ketua Harakah Islamiyah wilayah Utara sejak 1996.

Jika Hamas dianggap gerakan Islam di Gaza dan Tebing Barat, maka Harakah Islamiyah ialah gerakan Islam di wilayah yang dikuasai oleh Israel.

Berbeza dengan Hamas yang mempunyai hubungan langsung dengan Ikhwanul Muslimin, Harakah Islamiyah tiada sebarang hubungan dengan gerakan Islam itu, walaupun fikrahnya sama.

Ia ditubuhkan pada 1971. Selepas 44 tahun beroperasi, pada 17 November 2015 Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengumumkan Harakah Islamiyah sebagai pertubuhan haram.

Syeikh Ra’id dikatakan tokoh pertama mendedahkan rahsia projek penggalian di bawah Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk merobohkan masjid bersejarah itu.

Beliau yang pernah beberapa kali memenangi pilihan raya beberapa peringkat telah berkali-kali berhadapan dengan tindakan ditangkap, dipenjara dan dikenakan tindakan sekatan perjalanan.

Seawal tamat pengajian di peringkat Sarjana Muda Syariah (1981) di Bandar Al Khalil, beliau telah ditangkap kerana dituduh terlibat dengan pertubuhan haram. Selepas bebas dari penjara, beliau dikenakan tahanan rumah, tidak dibenarkan meninggalkan Bandar Al Khalil waktu siang dan tidak dibenarkan keluar dari rumah pada waktu malam. Setiap hari perlu melapor diri di Balai Polis Wadi ‘Arrah.

Pada Oktober tahun 2000, beliau hampir terbunuh apabila ditembak di kepalanya dengan peluru hidup oleh tentera Israel.

Tahun 2002, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan larangan keluar negara kepadanya. Tahun berikutnya (2003) Syeikh Ra’id ditangkap dan dipenjarakan selama dua tahun kerana dituduh mengumpulkan dana untuk gerakan Islam Hamas. Beliau hanya dibebaskan pada tahun 2005.

Pada tahun 2009, Syeikh Ra’id dikenakan larangan memasuki Baitul Maqdis sedangkan beliau adalah Syaikhul Aqsa! Tidak cukup dengan itu, pada 2010 Mahkamah Israel menjatuhkan hukuman penjara selama 9 bulan dengan pertuduhan yang meragukan.

Hukuman penjara itu kemudiannya dilanjutkan selama 5 bulan kerana kesalahan meludah seorang anggota polis Israel setelah diprovokasi.

Ketika pulang dari umrah pada 2011, berlaku satu kekecohan antara Syeikh Ra’id dengan anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan ke atas isterinya dalam keadaan terbuka auratnya. Dengan sebab itu Syeikh Ra’id dijatuhi hukuman penjara selama 8 bulan.

Pada tahun yang sama, Syeikh Ra’id ditahan di Britain tanpa sebarang pertuduhan. Ia hanya permintaan dari rejim Zionis kepada pihak berkuasa British. Setelah dipastikan tiada sebarang kes, Syeikh Ra’id dibebaskan.

Namun setelah pulang ke Palestin pada 16 April 2012, beliau tidak dibenarkan memasuki Baitul Maqdis sehingga hujung bulan berkenaan.

Sekali lagi pada 8 Mei 2016, Syeikh Ra’id dihukum 9 bulan penjara kerana dituduh menyebabkan rusuhan. Beliau hanya dibebaskan pada 17 Januari 2017 dan dikenakan sekatan keluar Negara selama 6 bulan.

Pembebasan itu disambut besar-besaran oleh penduduk kampungnya di Ummul Fahm.

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 24/3/2020