Assabiqun, Pekida wujud rangkaian ‘foodfaster’

PASIR PUTEH: Assabiqun dan Pekida Pasir Puteh berganding bahu mewujudkan rangkaian ‘foodfaster’ bagi membantu orang ramai mendapat barangan keperluan hari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Advertisement

Hari ini mereka memulakan gerak kerja dengan menghantar keperluan asas kepada golongan asnaf di kawasan Pasir Puteh bagi meringankan bebanan mereka.

Ketua Penerangan Assabiqun Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, golongan asnaf terbabit sudah dikenal pasti untuk dibekalkan keperluan harian kepada mereka secara percuma.

“Setiap asnaf akan diberi keperluan harian dengan nilaian RM50. Kita menghantar ke rumah mereka yang telah dikenal pasti ekoran KPK sekarang,” katanya di sini.

Selain itu mereka turut membekalkan air mineral percuma ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh.

Drs Zainuddin yang juga Pengerusi Pekida Pasir Puteh berkata, beliau menggerakkan rangkaian ‘foodfaster’ bagi membantu orang ramai mendapatkan keperluan harian.

Katanya, mereka boleh menghubungi sukarelawan ‘foodfaster’ bagi mendapat keperluan harian dan tidak perlu keluar ke bandar ketika PKP sekarang.

“Sukarelawan akan menghantar barangan yang ditempah dan dikenakan caj penghantar sebanyak RM10 bagi kawasan sekitar Pasir Puteh.

“Barangan yang ditempah akan diberi kepada mereka selepas bayaran harga barangan dan upah penghantar dibuat,” ujarnya.

Manakala bagi penghantar ke masjid yang melaksanakan program khidmat social (CSR) bagi membekalkan keperluan harian kepada penduduk miskin dikenakan caj RM30 bagi setiap penghantaran.

Menurutnya barangan yang ditempah masjid terbabit lebih banyak bagi keperluan penduduk miskin di kariah berkenaan.

Antara masjid yang mewujudkan ‘food bank’ di Pasir Puteh termasuk Masjid Ibrahimi di Bandar Pasir Puteh dan Masjid Padang Pak Amat.

Sukarelawan terbabit boleh dihubungi atau whatsapp melalui talian 011-3300 2242/019-9009 957/017-9025 818. – HARAKAHDAILY 25/3/2020