PKP: ADUN Kubu Gajah jengah penduduk

LARUT: Sekretariat Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah giat mengatur Ziarah Kebajikan bagi menyerahkan sumbangan keperluan barangan asas kepada penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Rata-rata mereka terdiri daripada yang bekerja sendiri atau mempunyai pendapatan terhad di mana sumbangan diberikan adalah sumbangan daripada orang ramai untuk diagihkan oleh pihak Sekretariat.

Sumbangan disampaikan sendiri ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya ke kampung-kampung antaranya Bendang Luas, Bagan Baru, Sungai Dendang, Kubu Gajah, Sungai Malau Dalam, Gudang, Relang dan Air Itam Jelai.

Sememangnya menjadi pemerhatian yang sayu apabila didapati terdapat penduduk sudah terputus bekalan makanan kerana tidak dapat bekerja dan bergerak keluar di mana sumbangan itu amat bermakna bagi keluarga.

Pun begitu, Ustaz Khalil tidak lupa menasihati mereka supaya bersabar dan terus mematuhi arahan pihak berkuasa, selain pesanan untuk memastikan kebersihan dan kesihatan diri serta keluarga dijaga sebaiknya.

Beliau turut berharap para dermawan meneruskan keprihatinan mereka menyumbang menerusi akaun Maybank 1580 5191 1775 untuk kelangsungan usaha jariah seperti itu. – HARAKAHDAILY 25/3/2020