PKP: PAS Shah Alam lancar Kit Makanan Harian

SHAH ALAM: Menyedari terdapatnya penduduk bandaraya ini yang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka PAS Kawasan Shah Alam telah menggerakkan inisiatif membantu golongan memerlukan.

Advertisement

Menerusi sebaran poster dan borang atas talian, projek Kit Makanan Harian dilancarkan selama 3 hari di mana telah berjaya mengumpulkan sumbangan untuk disampaikan kepada penerima yang dikenalpasti.

Menurut Setiausaha PAS Shah Alam, Ustaz Aubidullah Fahim Ibrahim, setakat dua hari, pihaknya sudah menyedia dan mengedarkan 250 kit berupa barangan asas seperti beras, tepung, telur, gula, minyak dan bihun.

“Edaran kit makanan ini akan terus dilakukan berdasarkan borang pendaftaran yang masin diterima oleh pihak kami. Inisiatif ini turut dijayakan oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Shah Alam,” maklumnya.

Kata beliau lagi, pihaknya akan terus berusaha mencari sumbangan dana bagi misi ini yang diketuai oleh Ustaz Nurul Amin Ismail sehinggalah tempoh PKP ini diumumkan tamat oleh pihak kerajaan.

Para dermawan yang ingin bersolidariti dan menyokong usaha ini boleh berbuat demikian melalui Ustaz Nurul Amin dengan menghubungi talian 019-414 0228. – HARAKAHDAILY 25/3/2020