Polis perketat kawalan masuk KB – KP Kelantan

Ketua Polis Kelantan, Dato' Hassanuddin Hassan menahan sebuah motosikal untuk mengetahui ke mana arah tujuan mereka

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengakui masih belum berpuas hati dengan kadar kepatuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya di kawasan bandar Kota Bharu.

Berikutan daripada itu, Ketua Polis Kelantan, Dato’ Hassanuddin Hassan berkata bahawa pihaknya akan memperketatkan lagi kawalan bagi semua laluan masuk ke bandar Kota Bharu berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas menyedari masih ramai orang awam yang keluar tanpa tujuan yang penting.

Advertisement

“Berkuat kuasa hari ini, saya akan mengambil pendekatan yang lebih keras terutama di Kota Bharu dengan hanya membenarkan mereka yang betul-betul ada urusan penting sahaja termasuk yang bekerja dibenarkan masuk ke bandar.

“Ada dalam kalangan mereka yang menggunakan alasan mahu pergi bayar bil elektrik sedangkan boleh sahaja bayar melalui eletronik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di sekatan jalan raya, di Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya lagi, sekiranya masih ada 50 peratus pergerakan rakyat di negeri itu khususnya di Bandar Kota Bharu, kemungkinan pihaknya akan menutup jalan tersebut untuk dilalui.

Beliau juga merayu kepada orang ramai di negeri itu supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan.– HARAKAHDAILY 25/3/2020