Wan Idris urus pengkebumian mangsa COVID-19

RANTAU PANJANG: Penghulu Bandar Rantau Panjang Wan Idris Wan Deraman mungkin layak dianggap hero kerana sanggup berkorban menguruskan pengkebumian mangsa Covid-19 di sini.

Advertisement

Beliau muncul di Tanah Perkuburan Rantau Panjang kira-kira jam 2 pagi selepas diminta berbuat demikian oleh Adun Gual Periok Dato’ Muhammad Awang.

Katanya, ketika sampai di tanah perkuburan ada pegawai dari Jabatan Kesihatan, anggota polis dan dua anak mangsa.

“Saya hairan mengapa mereka tidak mengurus pengkebumian jenazah Ustaz Hassan memandangkan sudah lama sampai ke tanah perkuburan itu.

“Pegawai Jabatan Kesihatan pun sudah ada. Sedangkan berdasar kenyataan media sebelum ini pengurusan jenazah dibuat pihak jabatan berkenaan,” katanya di sini.

Mangsa daripada kluster tabligh, Hassan Abd Wahab, 69 dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac lalu setelah mengalami gejala Covid-19 sejak 12 Mac.

Kemudian mangsa dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac dan keadaan kesihatannya merosot serta memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia selepas itu.

Difahamkan jenazahnya sampai ke tanah perkuburan itu pada sebelah petang, namun selesai dikebumikan pada jam 3 pagi.

Wan Idris berkata, selepas berusaha mendapat bantuan daripada petugas Jabatan Kesihatan dan beberapa agensi lain akhirnya beliau memberanikan diri menurunkan jenazah dengan mengenakan sut diberi Jabatan Kesihatan. 

“Saya meminta bantuan dua penduduk kampung dan anak arwah sambil bertawakal kepada Allah Taala bagi menurunkan jenazah arwah. Selepas selesai kami diminta menanggalkan semua pakaian termasuk selipar.

“Sut khas diberi Jabatan Kesihatan dan selipar dibakar di kawasan tanah perkuburan. Saya balik jalan kaki ke rumah.

“Pakaian yang dipakai ketika menurunkan jenazah perlu dijemur pada panas matahari sebelum dibasuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2020