7 kakitangan Istana Negara positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Istana Negara hari ini mengesahkan seramai tujuh kakitangannya disahkan positif Covid-19 dan punca terkena jangkitan sedang disiasat.

Advertisement

Memetik portal berita BERNAMA, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin berkata, kakitangan berkenaan sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Manakala kata Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah disahkan negatif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kesihatan.

Kata Ahmad Fadil lagi, susulan itu YDPA dan isteri sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari mulai semalam.

Sehubungan itu kata Ahmad Fadil, baginda dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mesyuarat mingguan pra-kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi akan datang sehingga situasi pandemik Covid-19 pulih.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini. Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” kata Ahmad Fadil.

Semenjak wabak Covid-19 membadai negara, Al-Sultan Abdullah bersama pasangannya sentiasa menzahirkan keprihatin terhadap nasib rakyat.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah sentiasa menitahkan peringatan kepada rakyat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Baginda telah menzahirkan rasa sedih ekoran beberapa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti wabak Covid-19.

Titah baginda, setinggi penghargaan dirakamkan kepada petugas kesihatan dan anggota keselamatan yang merupakan petugas barisan hadapan yang telah mengorbankan masa untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Beberapa hari lepas, Tunku Azizah juga mencemar duli memasak untuk petugas-petugas kesihatan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 26/3/2020